Khidmat Simon Mignolet bersama pasukan Liverpool selama enam musim akhirnya menemui titik noktah apabila penjaga gol Belgium itu bersetuju untuk kembali ke ‘kampung halaman’ beliau dengan menyertai Club Brugge. Pemain berusia 31 tahun tersebut dilaporkan telah memeterai kontrak selama lima tahun.
Liverpool dan Club Brugge telah bersetuju dengan nilai perpindahan berjumlah £6.4 juta dan berpotensi untuk meningkat kepada £8.4 juta berdasarkan tambahan bonus mengikut prestasi pemain tersebut.
Mignolet telah kehilangan tempat selaku penjaga gol utama di Anfield kepada Loris Karius selepas aksi yang kurang konsisten dipamerkannya.
Sekalipun penjaga gol Jerman tersebut dipinjamkan kepada Besiktas pada musim berikutnya selepas berhadapan dengan mimpi ngeri dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid, Mignolet terus disisihkan dengan kehadiran Alisson Becker pada musim lepas.
Beliau menjadi sebahagian daripada skuad yang menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah pada musim lalu, namun hanya beraksi dua perlawanan sahaja dalam semua kejohanan.
Mignolet tetap tidak digunakan dalam perlawanan Perisai Komuniti berhadapan Manchester City malam tadi sekalipun telah memberitahu Jurgen Klopp supaya beliau diberikan peluang beraksi dengan lebih kerap.
Klopp mahu penjaga gol itu terus kekal bersama pasukan tetapi pengendali Liverpool berkenaan mengakui tidak dapat memenuhi permintaan penjaga gol tersebut.
Mignolet telah terbang ke Belgium selepas meninggalkan Wembley pada Ahad petang untuk menyelesaikan prosedur pemeriksaan perubatan bagi melengkapkan urusan perpindahan.
Club Brugge yang ditubuhkan pada tahun 1891 pernah mengecapi kegemilangan di pentas Eropah dengan rekod beraksi dalam dua perlawanan akhir Piala Eropah (kini Liga Juara-Juara Eropah) pada tahun 1976 dan 1978.
Menariknya kelab tersebut tewas dalam kedua-dua perlawanan akhir tersebut kepada bekas kelab pemain yang baru ditandatangani mereka iaitu Liverpool.
Liverpool pula kini dikatakan dalam usaha untuk mencari penjaga gol baru yang berpengalaman bagi menggantikan Mignolet selaku penjaga gol kedua pasukan.