Quantcast

BERITA

Simon McMenemy Salahkan Liga 1 Indonesia Punca Garuda Dibaham Harimau Malaya

Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Simon McMenemy menyalahkan pertandingan Liga 1 Indonesia sebagai punca kekalahan pasukan kendaliannya kepada Malaysia di perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno pada malam tadi.

Enggan menyalahkan kekecohan yang dicetuskan penyokong sebagai punca kekalahan, jurulatih berbangsa Inggeris itu berkata keletihan akibat pertandingan di Liga 1 menyebabkan sukar buat beliau mempersiapkan pasukan dengan baik.

“Di Liga Indonesia, mereka [pemain] beraksi tiga kali seminggu. Anak buah saya berada dalam keadaan letih. [Stefano] Lilipaly beraksi dengan kerap [di liga]. Begitu juga Andik [Vermansyah].

“Malah kita kehilangan Ricky Fajrin akibat kecederaan dan terpaksa diganti. Saya enggan memberikan alasan, dan menerima kekalahan ini,” ujar McMenemy dalam sidang media selepas perlawanan.

Malah McMenemy turut meminta maaf kerana persembahan pasukannya yang hambar di babak kedua, walaupun bermula dengan baik di babak pertama perlawanan.

“Di babak kedua, pemain mulai kepenatan, mental juga keletihan. Kerana itu pemain sukar bermain dengan baik, dan mereka sudah menampilkan kemampuan terbaik mereka. Malah pemain sentiasa berlari sepanjang perlawanan sehingga tidak mampu untuk berlari lagi.

“Tamat sahaja perlawanan, pemain terus rebah kerana keletihan,” ujar McMenemy lagi.

Sehubungan dengan itu, McMenemy berharap pertandingan Liga 1 di Indonesia boleh diatur bersesuaian dengan keperluan pasukan kebangsaan negara itu di pertandingan antarabangsa pada masa hadapan.