Bekas Pengerusi Crystal Palace, Simon Jordan telah meletakkan tag £70 juta untuk penyerang sayap Wilfried Zaha. Ini selepas pemain tersebut beraksi cemerlang pada musim ini.
Simon Jordan memberikan kredit kepada Roy Hogdson yang dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab ke atas peningkatan nilai Zaha. Sejak dikendalikan Hogdson, Wilfried Zaha sudah menjaringkan 8 gol untuk Crystal Palace.
Zaha yang memilih untuk mewakili Ivory Coast juga telah dipilih sebagai pemain terbaik EPL pada April dengan 4 gol dan 1 ‘assist’. Jordan berkata:
“Saya berpendapat, nilai Zaha meningkat daripada £50 juta kepada £70 juta dalam pasaran pemain.”
“Dengan kadar inflasi di bursa perpindahan, mengambil kira umur beliau serta aksi beliau yang sangat baik dalam pasukan yang kurang cemerlang musim ini.”
“Jadi, £50 juta adalah angka minimum untuk beliau dan harga yang harus dibayar untuk beliau adalah £70 juta.”
Dilaporkan kelab seperti Tottenham, Chelsea, Man City dan Liverpool antara yang mengikuti perkembangan pemain ini.
Namun begitu, Simon Jordan merasakan Crystal Palace tidak terdesak untuk menjual pemain ini buat masa ini.
“Saya tak rasa, Palace mahu menjual beliau. Mereka ada pemilik yang mahu mendapatkan pemain terbaik dalam pasukan mereka. Jadi, apabila sudah ada permata dalam pasukan, kenapa mereka perlu menjualnya. Kecualilah ada pasukan yang menawarkan harga yang luar biasa.”