Barcelona sekali lagi mengomel tentang tinggi rumput padang dalam perlawanan La Liga musim ini. Sebelum ini mereka mengkritik rumput padang Getafe yang terlalu tinggi.
Barcelona menuduh ia seolah-olah sengaja dilakukan oleh Getafe untuk mengganggu rentak permainan Barcelona yang berteraskan hantaran pendek yang banyak.
Barcelona juga kurang senang dengan tinggi rumput di stadium baru Atletico, Wanda Metropolitano. Pada 2014, Barcelona pernah menghantar bantahan rasmi kepada UEFA ketika perlawanan UCL berkenaan dengan isu yang sama.
Ernesto Valverde menyifatkan ia akan menjadi ujian terbesar dalam kunjungan sulung Barcelona ke Wanda Metropolitano untuk meneruskan rentak kemenangan.
Namun kali ini Simeone berkias dengan menjawab:
“Saya bukan tukang kebun, saya jurulatih. Macam inilah! Apabila saya datang berkunjung ke rumah anda, saya akan pakai sahaja alas meja, pinggan dan gelas yang anda sediakan.”
Ditanya tentang isu panas berkaitan iklim politik di Sepanyol kerana bandar Madrid adalah pusat kepada kerajaan Sepanyol. Simeone menegaskan:
“Saya lebih menaganggap perlawanan ini adalah untuk sukan berbanding dengan isu politik.”
“Saya ada pandangan peribadi saya sendiri (tentang politik) dan saya tidak perlu beritahu anda. Biar saya simpan sendiri.”
Tidak lama selepas itu, dalam sidang media perlawanan Valverde pula, beliau diberitahu wartawan tentang kiasan daripada Simeone. Pengendali Barcelona itu tenang menjawab:
“Kami akan menyesuaikan diri dengan ‘hidangan’, pinggan dan semua yang mereka sediakan untuk kami.”
“Kami tahu ia tempat sukar untuk dilawati. Atmosfera di sana akan menjadi spektakular. Kami tak pernah bermain di stadium itu lagi.”
Valverde juga tidak menafikan kualiti Atletico ketika wartawan menyatakan pasukan tersebut berpotensi mengakhiri rentetan kemenangan Barcelona setakat ini.
Ini kerana, menurut Valverde, dalam beberapa musim kebelakangan ini Atletico berjaya membuktikan kualiti mereka. Beliau meminta anak-anak buahnya kekal fokus!