Dua kekalahan berturut-turut yang dicatatkan oleh skuad Terengganu FC dalam saingan Liga Super mengundang pelbagai kecaman dan kritikan daripada penyokong skuad penyu tersebut.
Menurut pembantu jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohamad Nik, beliau menyifatkan sikap pemain merupakan punca utama pasukannya tewas 1-2 kepada pasukan tercorot, PKNP FC di depan penyokong sendiri, malam tadi.
Bercakap dalam Stadium Astro, kesilapan individu yang dilakukan oleh pemainnya tidak sepatutnya berlaku sehingga membenarkan pihak lawan menguasai bola dengan mudah.
“Sebagai pemain, sepatutnya ada motivasi untuk menang, tambahan pula beraksi di tempat sendiri.
“Semangat mahukan kemenangan dan menjaga maruah tidak ada dalam diri pemain dan itu adalah sikap yang perlu diubah,” katanya.
Mohamad berkata TFC harus menyalahkan diri sendiri dengan kegagalan menyudahkan peluang walaupun mendapat banyak sepakan bebas dalam kawasan berbahaya.
Ketiadaan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim, tidak boleh dijadikan punca aksi tidak bermaya Sang Penyu yang kini lebih hampir ke zon penyingkiran berbanding pasukan atasan.
“Saya cukup kecewa. Selain beraksi di tempat sendiri, kami juga ada rehat lebih sehari selepas aksi Piala FA.
“Bukan kami memandang rendah keupayaan lawan tapi ini adalah masalah sikap,” tambahnya.
Dalam perlawanan malam tadi, PKNP FC terlebih dahulu memberikan sedikit tekanan ke kubu Terengganu FC dengan rembatan dari luar kawasan penalti dilakukan G. Mugenthiran pada minit ke-13.
Malang menimpa Terengganu FC pada lewat aksi babak pertama setelah Ahmad Syamim Yahya melakukan kekasaran terhadap Mugenthiran dalam kawasan penalti yang memaksa pengadil perlawanan, Mohammad Zamzaidi Katimin menghadiahkan sepakan penalti buat PKNP FC dan disempurnakan oleh Giancarlo Lopes.
Giancarlo Lopes sekali lagi menemui sentuhan jaringan hanya seminit selepas aksi babak kedua bersambung selepas Mugenthiran yang berjaya merampas bola daripada Adib Aizudin Ab Latif di sebelah kiri pintu gol Terengganu FC dan kemudiannya melakukan hantaran buat Giancarlo yang melepaskan rembatan bagi menewaskan Wan Azraie.
Tersentak dengan dua jaringan tersebut, anak buah Irfan Bakti Abu Salim meningkatkan rentak permainan dengan melancarkan beberapa serangan ke arah pintu gol PKNP FC.
Hanya pada minit ke-72, Syamim menebus kesilapannya memberikan penalti apabila menyambar hantaran pemain gantian, Ashari Samsudin, untuk merapatkan kedudukan 1-2, namun sudah terlambat.