Hasrat peminat bola sepak tempatan untuk menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris 2018/2019 (EPL) di saluran tv percuma, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mungkin tidak akan menjadi kenyataan kerana ditangguhkan ke tahun yang akan datang.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Gobind Singh Deo berkata, pihaknya akan mengkaji cadangan menyiarkan perlawanan EPL secara langsung pada masa hadapan.
Beliau menjelaskan akan berusaha merealisasikan impian jutaan rakyat Malaysia itu paling awal pada tahun 2020.
Bagaimanapun, katanya kepada Harian Metro, sebarang perancangan membabitkan siaran langsung EPL itu mungkin berubah mengikut situasi semasa termasuk keadaan ekonomi negara dan dana kerajaan ketika itu.
“Siaran EPL secara langsung di RTM adalah satu perkara yang dibawa kepada perhatian KKMM.
“Untuk tahun ini, kita tidak boleh berbuat demikian kerana ia menelan kos yang besar melebihi dana diperlukan untuk siaran Piala Dunia 2018 di mana mendapat tajaan berjumlah RM30 juta.
“Pada masa sama, kerajaan ambil inisiatif untuk kurangkan perbelanjaan negara seperti disarankan (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun ini.
“(Siaran EPL) mungkin bukan tahun ini, bukan tahun depan, kita tengok tahun-tahun akan datang,” katanya.
Bernama, RTM to submit proposed merger paper by end-July – @GobindSinghDeo https://t.co/aiT1pB4r3m pic.twitter.com/iGIPATJ4hV
— BERNAMA (@bernamadotcom) July 12, 2018
Sementara itu, bangunan Media City di Wisma Angkasapuri RTM bakal dilengkapi peralatan dan teknologi moden menjadi antara usaha KKMM untuk memperkasakan kualiti penyiaran stesen televisyen itu.
“Bangunan itu akan disiapkan dalam tempoh dua bulan lagi. RTM akan mempunyai akses kepada peralatan moden untuk menyiarkan pelbagai program termasuk segmen sukan secara langsung dan lebih berkualiti,” katanya.