Cerita tentang yuran perpindahan tertinggi dalam saingan EFL Championship jarang diulas. Semua sedia maklum bahawa EFL Championship merupakan liga divisyen dua Inggeris.
Tetapi, ada juga yuran perpindahan pemain di liga ini yang mencecah angka berbelas juta pound.
Berikut adalah 5 pemain yang mencatatkan yuran perpindahan tertinggi dalam saingan EFL Championship:
1) Ruben Neves (15.8 juta pound)
Wolverhampton Wanderers telah membayar sebanyak 15.8 juta pound untuk pemain defensif tengah ini pada Julai 2017 lalu. Ruben sebelum ini bermain untuk Porto.
Pemain ini baru berusia 20 tahun dan berasal dari Portugal. Sekiranya Wolves berjaya melayakkan diri ke Premier League musim hadapan, ia ternyata satu pelaburan berbaloi bagi pemain ini.
Setakat ini, beliau telah menjaringkan 3 gol.
2) Britt Assombalonga (15 juta pound)
Sekiranya anda terfikir pemain ini berasal dari Afrika, ia tidak salah lagi! Pemain ini berasal dari DR Congo dan berumur 25 tahun.
Musim panas lalu, Nottingham Forest melepaskan pemain barisan hadapan ini kepada Middlesbrough. Nilainya berbaloi juga kerana telah menyumbat 12 gol untuk Boro.
Golnya sangat penting dan membantu Boro untuk mencabar slot ke Premier League. Sebelum ini, Britt pernah bersama Peterborough United dan Watford.
3) Helder Costa (13 juta pound)
Semasa perpindahan musim sejuk 2017, Wolves menandatangan Helder Costa secara tetap. Pada awalnya, beliau hanya dipinjamkan kepada kelab itu dari Benfica.
Tetapi, kecemerlangan beliau telah menyebabkan kelab Midlands itu mengambil keputusan untuk menawarkan kontrak tetap. Asalnya, Helder sendiri mahu kekal lama di Benfica.
Mungkin kerana kurang mendapat tempat, beliau memilih untuk kekal lama di Molineux. Malah, beliau dikenang sebagai perancang utama Wolves ketika menewaskan Liverpool semasa Piala FA musim lepas.
Berusia 23 tahun dan dilahirkan di Angola. Namun begitu, beliau masih belum lagi dipanggil untuk skuad Portugal walaupun pernah bersama pasukan belia negara itu.
Jika lambat, Angola akan ambil dahulu!
4) Ross McCormack (12 juta pound)
Fulham melepaskan pemain ini kepada Aston Villa dengan harga 12 juta pound pada awal musim 2016-17. Pemain berasal dari Scotland ini kini berusia 31 tahun.
Sebelum ini, beliau beraksi bersama Leeds United dan pernah dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan Scotland.
Aston Villa kini meminjamkan pemain ini kepada kelab liga Australia, Melbourne City.
5) Matt Ritchie (12 juta pound)
Pelaburan Newcastle untuk pemain ini berbaloi semasa pembelian pada musim panas 2016-17. Newcastle menandatangani pemain ini daripada Bournemouth.
Gol yang dijaringkan beliau menjadi kunci kemaraan pasukan bimbingan Rafael Benitez. Meskipun dilahirkan dan dibesarkan di England, beliau memilih untuk bersama Scotland.
Pemain sayap ini berusia 28 tahun dan pernah beraksi seketika di Portsmouth dan Swindon Town.
Rumusan
Jika kira-kira 10 tahun dahulu, rata-rata harga pemain di Championship cumalah bernilai bawah 10 juta pound. Tetapi disebabkan inflasi serta faktor penyiaran, harga sudah menjangkau naik seperti di atas. Begitu juga dengan banyak pemilikan kelab daripada luar Britain.
Malah, EFL Championship ini antara divisyen kedua yang menerima hasil semusim yang cukup banyak. Mungkinkah suatu hari nanti akan ada harga pemain yang mencecah puluhan juta pound?