Siapakah 5 Pengurus Termuda Di Premier League Musim 2020/21?

Beberapa kelab Premier League kini cenderung untuk memilih pengurus yang lebih muda. Malah ada di kalangan pengurus yang dilantik, tidak pernah mempunyai pengalaman mengendalikan mana-mana kelab pun sebelum ini.

Rata-rata dari mereka adalah bekas pemain. Dan sebahagian daripada mereka pernah bergelar pembantu jurulatih sebelum menerima cabaran untuk memegang jawatan utama ini.

Berikut adalah lima pengurus termuda yang mengendalikan kelab-kelab Premier League pada musim ini.

1. Mikel Arteta (38 tahun) – Arsenal

Bekas kapten Arsenal, Mikel Arteta merupakan calon pilihan untuk menggantikan tempat Arsene Wenger selaku pengurus Arsenal yang baru.

Namun demikian perkara itu tidak berlaku, dan pengurusan The Gunners memilih untuk membawa masuk Unai Emery ke Emirates.

Emery bagaimana pun bertahan selama 18 bulan sebelum ketibaan Arteta. Beliau bersara sebagai pemain bolasepak pada tahun 2016 dan menyertai barisan kejurulatihan di Manchester City sebagai pembantu Pep Guardiola.

Sejak mengambil alih Arsenal, Arteta kini berjaya menyeimbangkan kembali The Gunners pada musim ini dengan corak permainan menarik yang menghukum lawan.

Musim lalu Arteta berjaya membawa kejuaraan Piala FA pada musim pertamanya bersama Arsenal, dan trofi Perisai Komuniti pada awal musim ini.

Musim masih lagi jauh. Namun Arsenal bimbingan Arteta sudah pun menewaskan Liverpool dua kali pada musim ini.

2. Scott Parker (39 tahun) – Fulham

Di atas padang, Scott Parker dikenali sebagai seorang pemain yang rajin dan tidak mengenal penat lelah.

Merupakan produk akademi Charlton Athletic, karier profesional sebagai pemain menyaksikan Parker turut pernah menyarung jersi Chelsea, Newcastle United, West Ham, Tottenham Hotspur dan Fulham sebelum bersara.

Selepas bersara, Parker kemudiannya kembali ke Fulham untuk melatih skuad B-18 dan bergelar duta kelab. Pada Julai 2018, beliau kemudiannya kembali ke Fulham untuk jawatan pembantu jurulatih kepada bekas pengurus, Slavisa Jokanovic.

Fuljam kemudiannya turut melantik Claudio Ranieri sebelum pengendali dari Itali itu dipecat pada Fenvruari 2019. Parker kemudiannya diarahkan menjadi pengurus interim, namungagal menyelamatkan Fulham dari tersingkir dari premier League.

Pemilik Fulham, Shahid Khan kemudiannya melantik Parker sebagai pengurus tetap Fulham pada May 2019, dan selepas semusim, bekas pemain antarabangsa England ini berjaya membawa Fulham kembali ke Premier League.

3. Frank Lampard (42 tahun) – Chelsea

CHELSEA melantik bekas pemain tengah, Frank Lampard sebagai pengurus baru kelab London itu dengan kontrak selama tiga tahun pada Julai 2019.

Lampard, 41, meninggalkan kelab Liga Kejuaraan, Derby County untuk mengambil alih kelab pernah diwakilinya selama 13 tahun sebagai pemain.

Dia mengambil alih Chelsea yang berada dikenakan sekatan selepas kelab itu dikenakan dua pengharaman jendela perpindahan oleh badan induk bolasepak dunia, FIFA dan kelab itu mengemukakan rayuan kepada mahkamah.

Dia menggantikan Maurizio Sarri yang meninggalkan Stamford Bridge pada Jun lalu untuk mengendalikan juara Itali, Juventus.

Berbelanja mewah dengan membawa masuk pemain seperti Timo Werner, Kai Havertz, Hakim Ziyech, Ben Chilwell, Thiago Silva, dan penjaga gol Edouard Mendy, jangkaan dari penyokong semestinya tinggi buat Lampard.

4. Graham Potter (45 tahun) – Brighton

Nama Graham Potter mungkin agak asing bagi kita. Namun seperti yang lain, Potter juga adalah bekas pemain yang beraksi sebagai pemain bek kiri.

Ketika bergelar pemain, Potter pernah menyarung jersi Stoke City, Southampton, dan West Brom di antara tahun 1993 sehingga 2000. Beliau kemudiannya lebih banyak beraksi di divisyen bawahan.

Karier Potter di dalam bidang pengurusan agak menarik. Dengan sokongan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA), Potter memperoleh Ijazah Sains Sosial dari Open University sebelum bekerja di unit pembangunan bola sepak di Universiti Hull.

Pada masa yang sama beliau telah dilantik selaku Pengarah Teknikal skuad kebangsaan wanita Ghana. Potter kemudian mengasah bakat pengurusan dan kejurulatihan di Sweden bersama Ostersund selama lapan tahun, sebelum mengendalikan Swansea City pada musim 2018-2019.

Musim 2019/20, Potter memilh untuk menyertai Brighton menggantikan Chris Hughton yang dipecat selepas musim yang tidak konsisten.

5. Nuno Espirito Santo (46 tahun) – Wolves

Nuno Espirito sebenarnya sudah mempunyai pengalaman di dalam pengurusan bola sepak untuk saingan di peringkat yang lebih tinggi walaupun sebelum tiba di Wolves.

Nuno pernah bersama Valencia dan juga Porto, mengemudi kedua-dua pasukan untuk saingan domestik dan UEFA Champions League (UCL).

Selepas mengejutkan ramai dengan memilih Wolves sebagai pasukan seterusnya, satu lagi musim yang berhasil seperti musim lalu akan terus menaikkan ‘saham’ pengurus muda ini.

Di bawah kendalian Nuno Espirito Santo, Wolves menjadi sebuah pasukan yang menarik perhatian dari segi penampilan taktikal.

Penutup

Mampukah lima jurulatih muda ini memacu kejayaan pasukan masing-masing pada musim ini. Arsenal di bawah kendalian Arteta menunjukkan tanda-tanda kebangkitan. Manakala Chelsea dan Lampard semestinya mempunya sesuatu untuk dibuktikan.

Nuno Espirito pula sudah pasti mahu anak buahnya bangkit selepas permulaan kurang memberangsangkan pada awal musim.

Scott Parker dan Graham Potter pula pasti akan berhadapan cabaran untuk mengekalkan pasukan masing-masing di Premier League sekiranya kualiti pasukan masing-masing menjadi ukuran. Di sinilah kemampuan kedua-duanya bakal teruji.

One Comment

Leave a Reply