Siapa Mahu Beli Perak FC Jika Pengurusannya Seperti ‘Pak Pandir’?

Perak FC Logo

Tidak keterlaluan untuk mengatakan Perak FC untuk musim 2021 ini adalah di antara pasukan yang memiliki pengurusan yang gagal.

Pada awal musim, kita dapat menyaksikan betapa tingginya harapan peminat skuad The Bos Gaurus apabila melihat pasukan mereka memasuki babak baharu 100 tahun penubuhan bola sepak Perak dalam kancah bola sepak tempatan.

Entah apa yang ada di dalam kepala pengurusan Perak ketika itu, mereka dengan yakin bertindak mengambil beberapa pemain import walaupun sudah tahu tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh.

Biar papa asal bergaya

Akibatnya satu demi satu masalah menimpa. Ia bermula dengan kejadikan pemain boikot sesi latihan selepas tidak menerima gaji untuk beberapa bulan. Seterusnya diikuti dengan tindakan beberapa pemain utama bertindak meninggalkan pasukan.

Tetapi perkara itu tidak sama sekali memberi kesedaran mahupun dijadikan pengajaran. Kebodohan pihak pengurusan Perak diteruskan dengan mengambil pula beberapa pemain import baharu walaupun gaji tertunggak masih belum diselesaikan.

Ia adalah gambaran tepat kepada pepatah Melayu iaitu biar papa asal bergaya. Untuk menggunakan khidmat pemain import, sudah tentu memerlukan perbelanjaan besar untuk menampung pembayaran gaji mereka.

Sedangkan ada pepatah yang boleh dipegang iaitu ukur baju di badan sendiri. Jika mengambil konteks dalam industri bola sepak, ia bermaksud setiap pasukan haruslah berbelanja mengikut kemampuan kewangan.

Sekalipun kita tahu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah menetapkan kuota lima pemain import untuk Liga Super dan empat pemain import bagi Liga Premier, ianya bukanlah bermaksud setiap pasukan ‘wajib’ memenuhi kuota tersebut.

Lihat sahaja bagaimana pasukan Petaling Jaya City mengambil pendekatan menggunakan 100 peratus pemain tempatan. Bukan sahaja mereka dapat mengurangkan kos operasi pasukan, tetapi mereka terus kekal di saingan Liga Super untuk musim depan.

Masih ramai pemain tempatan yang masih boleh diambil untuk beraksi terutamanya pemain-pemain yang lahir daripada sistem pembangunan akar umbi pasukan itu sendiri yang boleh diikat dengan gaji yang lebih berpatutan.

‘Baik Bantu Rakyat Susah’ – Kerajaan Negeri Tak Nak Tanggung Tunggakan Gaji Perak FC

Sudah jatuh ditimpa tangga

Kita bandingkan pula dengan Perak. Selepas tersingkir ke Liga Premier, bulan lalu mereka mengumumkan kontrak empat pemain import Samir Ayyass, Zoubairou Garba, Ghislain Guessan dan Nana Poku telah ditamatkan kononnya dengan ‘persetujuan bersama’.

Tidakkah mereka tahu, kes-kes gaji tertunggak yang pernah dibawa oleh pemain import ke FIFA sebelum ini yang menyebabkan pasukan Liga Malaysia terpaksa terbeban dengan hutang bernilai jutaan ringgit juga adalah disebabkan ‘persetujuan bersama’.

Seperti dijangka, pada penghujung Ogos, sudah ada pemain import yang menuntut gaji tertunggak mereka iaitu Jeon Hyo-seok, Leandro Dos Santos dan Careca.

Selain itu timbul beberapa isu berkaitan seperti dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan (caruman) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Selamat tinggal Liga Malaysia?

Terbaharu Pengurus Besar Perak, Azman Noh mengakui pasukan itu berdepan risiko tidak dibenarkan untuk beraksi di Liga Malaysia untuk musim 2023 sekiranya gagal mencari pemilik baharu.

Menurut laporan Stadium Astro, sehingga hari ini masih tiada pihak yang mahu membeli sekurang-kurangnya 50 peratus pemilikan kelab yang membolehkan mereka bersaing untuk musim depan.

“Musim depan masih boleh (bersaing lagi). Syaratnya adalah 50 peratus pemilikan, jadi pada saya, kami masih boleh meneruskannya, Tetapi pada 2023, syaratnya adalah 100 peratus bukan milik PAFA, jadi agak sukar untuk saya menjangkakannya,” kata Azman.

“Kemungkinan besar pada ketika itu kami tidak dibenarkan untuk menyertai pertandingan Liga Super kerana tidak memenuhi syaratnya. Saya yakin ini adalah risiko terbesar yang akan Perak FC hadapi pada 2023.”

MFL telah pun menetapkan untuk musim 2023 tiada lagi kelab yang terikat dengan persatuan bola sepak negeri sebagai syarat pelesenan kelab dan penswastaan penuh.

Penutup

Lihat sahaja isu mengenai logo, peruntukan penjualan jersi dan segala isu yang berbangkit. Jika diperhatikan semuanya, ia melibatkan individu yang sama sahaja.

‘Bola Sepak Adalah Sukan Rakyat’ – Teguran ‘Makan Dalam’ Sultan Nazrin Kepada Pengurusan Perak FC

Selepas satu demi satu kerosakan dibuat, akhirnya September lalu sudah beberapa ‘parasit’ telah melepaskan jawatan mereka sebagai dalam pengurusan pasukan kononnya begi memberi ruang kepada muka baharu yang lebih berkemampuan.

Parasit merujuk kepada makhluk jahat yang hidup menumpang dan menggunakan kemampuannya untuk mengambil kesempatan serta merosakkan sesuatu dari dalam. 100 tahun sejarah gemilang bola sepak Perak telah tercemar begitu sahaja.

Persoalannya, dengan segala kerosakan yang dibuat oleh perosak-perosak ini, siapa yang mahu beli  50 peratus pemilikan Perak?

Leave a Reply

Bacaan Yang Disyorkan Untuk Anda