Di kem latihan pusat skuad kebangsaan ketika ini, terdapat tiga penjaga gol yang telah dipanggil oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk dua aksi persahabatan.
Malaysia bakal bertemu Chinese Taipei dan Kemboja pada 7 dan 10 September dan mereka ini berpotensi untuk dibawa untuk Kejohanan AFF 2018 pada November depan.
Ketiga-tiga mereka memiliki peluang yang seimbang dan kelebihan tersendiri untuk terus memikat Cheng Hoe serta barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya.
Dan jangan dilupa, selain daripada mereka bertiga, penjaga gol skuad B-23 negara juga layak untuk dipertimbangkan seperti Haziq Nadzli dan Ifwat Akmal Chek Kassim.
Antara Farizal Marlias, Khairul Fahmi Che Mat dan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, siapakah yang paling layak menjadi benteng terakhir skuad kebangsaan?
Semuanya BOLA akan cuba ketengahkan statistik dan perbandingan prestasi ketiga-tiga penjaga gol tersebut sepanjang saingan unifi Liga Super 2018.
Kali terakhir beraksi untuk Harimau Malaya
Farizal sudah lebih 3 tahun tersisih daripada skuad kebangsaan dan kini selepas aksi memberangsangkan dalam saingan liga, Cheng Hoe kembali menagih khidmatnya.
Kali terakhir dia beraksi adalah ketika Harimau Malaya tewas 0-6 kepada Palestin dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2018 pada Jun 2015, tahun pertamanya beraksi di JDT.
Sementara Khairul Fahmi dan Hafizul Hakim pula saling berkongsi aksi terakhir mereka ketika dalam perlawanan persahabatan menentang Fiji pada 5 Julai yang lalu.
Selepas 4 aksi di bawah kendalian Cheng Hoe, Khairul Fahmi dan Hafizul Hakim telah merekodkan 135 minit permainan, sementara Haziq Nadzli pernah meraih 90 minit permainan.
Jadi, Cheng Hoe mungkin lebih terarah untuk menguji Farizal di gawang bagi menilai prestasinya kerana Khairul Fahmi dan Hafizul Hakim sudah pernah beraksi bersamanya.
13 clean sheets, Farizal di puncak prestasi?
Jika clean sheets dijadikan ukuran, penjaga gol JDT, Farizal adalah pemenangnya. Dia telah merekodkan 13 clean sheets daripada 18 perlawanan yang melibatkannya.
Dia juga merupakan penjaga gol yang memiliki rekod clean sheets tertinggi di Liga Super pada musim ini diikuti oleh Helmi Eliza Elias daripada Pahang dengan 7 clean sheets.
Farizal konsisten memastikan gawangnya tidak dibocori walaupun dia terlepas tiga aksi pertama liga akibat penggantungan panjang bermula pada pertengahan tahun lalu.
Penjaga gol Perak, Hafizul Hakim pula adalah penjaga gol ketiga terbaik berdasarkan rekod clean sheets dalam saingan liga dengan 6 kali tidak dibolosi oleh pihak lawan.
Khairul Fahmi yang kini bersama Melaka United pula memiliki 2 rekod clean sheets dan ianya dihasilkan selepas meninggalkan Kelantan pada jendela perpindahan Mei lalu.
Jumlah bolos sepanjang musim
Sepanjang 18 aksi, Farizal hanya dibolosi sebanyak 6 gol. Ini bermaksud, kemungkinan dia untuk dibolosi dalam satu-satu perlawanan adalah 0.33, nilai yang sangat rendah.
Ratio bolosnya daripada 35 percubaan tepat adalah 0.17, juga sangat rendah. Jadi, bolehlah kita anggap yang gawang gol JDT berada di tangan yang selamat.
Untuk Khairul Fahmi pula, kemungkinannya untuk bolos dalam satu-satu perlawanannya adalah 1.33. Dia telah melepaskan 20 gol dalam 15 penampilannya di liga.
Ratio bolos Khairul Fahmi daripada 73 percubaan tepat yang direkodkan ke atasnya adalah 0.27, iaitu lebih 0.1 daripada ratio yang direkodkan oleh Farizal.
Kemungkinan untuk bolos dalam satu-satu perlawanan Hafizul Hakim pula adalah 0.18, dengan ratio bolos daripada 68 percubaan tepat ke atasnya adalah 0.38.
Selain itu, Hafizul Hakim paling banyak buat penampilan dengan hanya terlepas dua aksi liga iaitu dalam perlawanan ke-15 dan 16, menentang Negeri Sembilan dan Selangor.
Peratusan ‘saves’ berbanding percubaan tepat
Untuk peratusan ‘saves’ atau aksi menyelamat bagi ketiga-tiga penjaga gol, Farizal tetap merekodkan statistik yang baik berbanding Khairul Fahmi dan Hafizul Hakim.
Sepanjang musim lalu, Farizal telah merekodkan 82% aksi menyelamat iaitu 29 ‘saves’ daripada 35 percubaan tepat ke atasnya. Ia lebih 10% berbanding Khairul Fahmi.
Khairul Fahmi pula berada di kedudukan kedua untuk peratusan aksi menyelamat dengan 72%. Dia telah membuat 53 ‘saves’ daripada 73 percubaan tepat ke atasnya.
Sedikit jauh ketinggalan, Hafizul Hakim yang telah merekodkan 61% aksi menyelamat dalam 20 perlawanan dengan 42 ‘saves’ daripada 68 percubaan tepat ke atasnya.
Jadi, untuk memilih penjaga gol skuad Harimau Malaya nanti, kebolehan menyelamat juga penting, kerana tidak semua asakan lawan akan berjaya dibendung barisan pertahanan.
Peratusan untuk menang
Jika Farizal Marlias beraksi di gawang, peluang untuk JDT menang adalah 89%. JDT hanya seri dengan lawan dalam dua perlawanan iaitu ketika menentang Selangor dan PKNS FC.
Untuk Khairul Fahmi, pasukannya berpeluang 47% untuk menang jika dia beraksi dengan 7 perlawanan dimenangi daripada 15 perlawanan yang telah ditempuhinya.
Namun, jika diambil kira penampilannya bersama Melaka United, peratus untuk menang meningkat kepada 55%. Khairul Fahmi lebih menyerlah di pasukan Hang Tuah.
The Bos Gaurus pula berpotensi untuk menang sebanyak 45% sekiranya Hafizul Hakim beraksi dengan 9 kemenangan telah direkodkan ketika dia berada di gawang.
Peratusan ini juga sebenarnya disumbang oleh prestasi keseluruhan pemain. Itu adalah salah satu faktor yang tidak boleh kita sangkal dan wajar dipertimbangkan.
Penutup
Itu adalah empat kriteria yang Semuanya BOLA bawakan kepada para pembaca untuk perbandingan prestasi ketiga-tiga penjaga gol skuad kebangsaan ketika ini.
Berdasarkan statistik yang diberikan di atas, Farizal Marlias adalah pilihan terbaik ketika ini untuk menjadi benteng terakhir Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Tidak dinafikan, terdapat faktor lain yang menyumbang kepada prestasi baik penjaga gol misalnya karakter, komunikasi, keberanian dan juga benteng pertahanan yang kukuh.
Namun, statistik sebegini juga boleh membantu kita untuk mengetahui sedikit sebanyak kemampuan penjaga gol itu ketika mengawal gawangnya dalam satu-satu perlawanan.
Jadi, siapa pula pilihan para pembaca untuk posisi penjaga gol skuad kebangsaan untuk aksi persahabatan kali ini? Anda boleh kongsikan bersama kami pendapat anda.