Siapa 6 Penyokong Yang Pakai Jersi Bola Sepak Malaysia Di Gelanggang Badminton Sukan Olimpik Rio 2016?

Menonton perlawanan badminton bukanlah suatu perkara yang saya gemar lakukan kerana dua sebab.

Pertama, kawan-kawan sering mengusik ‘nasib malang’ yang saya ‘bawa’ setiap kali menonton perlawanan badminton. Setiap kali saya menonton untuk menyokong seseorang pemain, pemain tersebut sering kalah.

Kedua, ia tak bagus untuk hati saya yang gemuruh.

Jadi saya sangat menghormati kebolehan pemain badminton negara bersekemuka dengan rasa gemuruh mereka ketika beraksi dalam perlawanan penting seperti yang dilalui oleh Datuk Lee Chong Wei, Goh Liu Ying, Chang Peng Soon, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong.

Penyokong berjersi bola sepak Malaysia tarik perhatian

Ketika menonton siaran ulangan final beregu lelaki Malaysia, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong menentang beregu China, Fu Haifeng dan Zhang Nan, mata saya tertarik kepada gelagat 6 penyokong Malaysia yang berjersi bola sepak Malaysia di belakang gelanggang.

Salah seorang daripada 6 penyokong Malaysia yang menyarung jersi Nike kuning hitam itu adalah bekas jaguh badminton perseorangan negara, Wong Choong Han.

Saya pasti anda juga mengecam 6 penyokong Malaysia ini di televisyen.

WhatsApp Image 2016-08-21 at 12.11.41 PM

Siapa mereka?

Seperti rakyat Malaysia yang lain, 6 penyokong Malaysia ini sudah lama menyimpan hasrat untuk turun menyaksi dan menyokong atlet Malaysia di Sukan Olimpik.

Cuma baru kali ini, di Rio de Janeiro pada tahun 2016, barulah mereka mendapat kesempatan dan rezeki untuk mengeluarkan duit poket sendiri untuk tujuan tersebut.

Seminggu sebelum berlepas ke Rio de Janeiro, salah seorang daripada 6 penyokong tersebut, Kenny Wong kelam-kabut mencari jersi bola sepak Malaysia.

“Banyak kedai yang saya pergi sudah habis stok jersi bola sepak Malaysia. Saya terpaksa menghubungi beberapa rakan-rakan saya untuk mendapatkan 12 jersi (2 helai untuk setiap orang) tersebut.”

“Kami memilih jersi bola sepak Malaysia kerana dari jauh ia mudah dikenal pasti sebagai jersi Malaysia!”

Menurut Kenny, beliau pergi ke Rio de Janeiro dengan 5 lagi rakan beliau – Yap Ming Sin, Richard Liew, Wong Choon Han, Chew Chong Eng dan Leong Wai Yin.

WhatsApp Image 2016-08-21 at 12.11.47 PM

Badminton beri nyawa kepada jersi bola sepak Malaysia

Ketika ditanya oleh saya mengenai suasana di Riocentro – gelanggang badminton untuk Sukan Olimpik 2016, Kenny mengaku beliau tidak pernah rasa lebih bangga sepanjang hidupnya sebelum memakai jersi Malaysia di dalam Riocentro.

“Sumpah memang saya bangga bila pakai jersi tersebut. Semua orang pandang jersi Malaysia yang kami pakai dengan rasa hormat.”

WhatsApp Image 2016-08-21 at 12.11.48 PM

Apa yang kita tak tahu di Malaysia adalah, atlet-atlet badminton Malaysia bukan sahaja mengharumkan negara. Malah mereka memberi ‘nyawa’ kepada jersi bola sepak Malaysia.

Atlet-atlet badminton Malaysia berjaya melakukan apa yang pemain bola sepak kebangsaan tak mampu lakukan – memberi rasa bangga kepada penyokong yang menyarung jersi Malaysia.

Kesimpulan

Sudah tentulah, tidak adil untuk kita membandingkan pencapaian sukan badminton dengan bola sepak Malaysia.

Ia dua sukan berbeza. Bak kata orang putih, you can’t compare apples to oranges.

Tetapi pemain bola sepak kebangsaan perlu berusaha untuk memberikan ‘nyawa’ kepada jersi kebangsaan. Kembalikan rasa bangga penyokong apabila mereka menyarung jersi Malaysia.

Badminton sudah membuktikan rakyat Malaysia boleh bersikap rasional dalam menilai persembahan atlet. Anda boleh tanya editor akhbar Kosmo! dan Berita Harian jika tak percaya.

Kalah tak mengapa, asalkan pemain bola sepak kita mempamerkan semangat juang dan sudah melakukan yang terbaik.

Jadi setiap kali selepas anda kalah kepada pasukan negara lain, pemain bola sepak kita perlu bertanya kepada diri sendiri: sudahkah saya pamerkan semangat juang dan lakukan yang terbaik?

Baca juga: 5 Pengajaran Penting Daripada Lim Teong Kim Semasa Forum Bola Sepak Malaysia

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN