Shunsuke Nakamura: Lagenda Yang Terlalu ‘Kurus’ Untuk Troussier

Nota editor: Artikel ini telah ditulis oleh pembaca kami, Justine Pengiran Igai. Beliau membesar dengan mengharapkan satu hari, kita juga mempunyai Shunsuke Nakamura versi kita sendiri.

Bagi sesiapa yang menyaksikan kemenangan 4-0 Yokohama F. Marinos ke atas Urawa Reds pada Sabtu lepas, memori menyaksikan Shunsuke Nakamura di Reggina dan Celtic pasti berulang semula.

Pada usia 37 tahun, sentuhan magik Nakamura dalam sepakan percuma masih tidak hilang.

Nakamura menjaringkan gol pertama pasukannya pada minit 28′ melalui – sudah tentulah – sepakan percuma.

Siapa Shunsuke Nakamura?

Shunsuke Nakamura dilahirkan dan dibesarkan di Yokohama, Jepun. Sejak berusia 5 tahun, Nakamura bermain dengan pasukan kelab belia tempatan, Misono FC.

Pada tahun usia 12 tahun, Nakamura menyertai pasukan belia Nissan FC. Nissan FC merupakan pasukan pelapis muda untuk Nissan Motors. Selepas penubuhan J League pada 1993, Nissan Motors dikenali sebagai Yokohama F. Marinos.

Bagaimanapun, Nakamura tidak terus diserap masuk ke pasukan belia Nissan FC pada tahun 1994.

Nakamura kemudiannya mendaftar di Toko Gakuen High School di Kawasaki. Di sana, Nakamura telah dinamakan sebagai pemain paling bernilai kejohanan bola sepak sekolah tinggi Jepun pada tahun 1995. Pada 1996, beliau membawa sekolahnya ke perlawanan akhir kejohanan itu.

Selepas tamat pengajian dari Toko Gakuen pada 1997, Nakamura ditawarkan kontrak profesional dengan kelab tempatannya. Ke mana lagi kalau bukan Yokohama F. Marinos.

“Dia boleh buka tin kacang dengan kaki kirinya”

Pada usia 19 tahun, Nakamura sudah membuat 27 penampilan dan menjaringkan 5 gol.

3 tahun kemudian, Nakamura dinobatkan sebagai pemain terbaik J League. Kehebatannya diakui sendiri oleh Steve Perryman, bekas pemain Tottenham Hotspurs yang mengurus Shimizu S-Pulse.

Menurut Perryman:

“Tekniknya sangat bagus sehinggakan saya rasa dia boleh buka tin kacang dengan kaki kirinya saja.”

Berkelana ke Eropah

Semuanya bermula kerana Philippe Troussier.

Walaupun Nakamura membantu Jepun memenangi Piala Asia 2000, Troussier percaya Nakamura tidak mempunyai stamina dan kekuatan untuk bermain dalam taktikal defensifnya.

Ketika Jepun membuat persiapan untuk Piala Dunia 2002, Nakamura menjaringkan 2 gol dalam 4 perlawanan pemanas badan. Pada perlawanan terakhir, Nakamura cedera.

Meskipun beliau sepatutnya boleh sembuh sebelum perlawanan pertama Piala Dunia 2002, Nakamura tetap diketepikan oleh Troussier. Rakyat Jepun begitu kecewa dengan keputusan Troussier.

Bermula dari itulah, Nakamura nekad untuk membuktikan kemampuannya di Eropah. Bermula di Reggina yang baru naik ke Serie A.

Jangkaan peminat Reggina terhadap Nakamura tinggi. Terutamanya selepas Nakamura diberi jersi no.10. Dan Nakamura memang tidak mengecewakan.

Sepanjang Nakamura di Reggina, pasukannya tidak pernah tersingkir kembali ke Serie B. Bermain di belakang Gianluca Savoldi dan Emiliano Bonazzoli dalam formasi 4-3-1-2, Nakamura adalah chief playmaker untuk Reggina selama 3 musim.

Uji diri di Scotland

Berita tentang adanya playmaker dari Asia yang mempunyai visi, kemahiran teknikal dan kerajinan untuk bertahan yang tinggi sampai ke pengetahuan pengurus Atletico Madrid, Deportivo la Coruna, Borussia Dortmund dan Borussia Mönchengladbach.

Tetapi Nakamura memilih Celtic. Sekali lagi, beliau mahu menguji dirinya di liga yang lebih fizikal dari Serie A.

Bagi ketua jurulatih Jepun, Zico, pengalaman Nakamura di Eropah mengubah stail permainannya menjadi lebih fizikal.

Hasilnya, Nakamura berjaya menjadi pemain paling penting dalam skuad Jepun kendalian Zico. Nakamura turut berjaya menggantikan Hidetoshi Nakata sebagai perancang utama pasukan Jepun.

Debut di Celtic

Sebelum debutnya menentang Dundee United, Nakamura memberitahu wartawan Jepun yang beliau gementar. Jangkaan peminat Celtic yang besar menakutkannya. Tahap kecergasannya masih belum 100%.

Buku program perlawanan Celtic pula tersilap cetak gambar Nakamura pada perlawanan itu. Sepatutnya gambar Nakamura berada di tengah-tengah buku.

Sebaliknya Celtic mencetak gambar Du Wie; pemain China yang menjalani trial di Celtic pada ketika itu.

Tetapi Nakamura mengakhiri debutnya dengan anugerah pemain terbaik perlawanan. Walaupun tidak menjaringkan gol dan membuat assist, Nakamura merupakan duri dalam daging Dundee United.

Sentiasa memulakan gerakan bahaya Celtic dengan hantarannya. Rajin bertahan bersama pasukannya. Nama Nakamura mula masuk dalam lagu sorakan penyokong Celtic.

Lagenda Celtic

Sehingga kini, penyokong Celtic masih mengenang sumbangan Nakamura kepada pasukan mereka. Sepakan percuma ketika menentang Manchester United. Voli 30 meter ketika Old Firm Derby.

Jangan lupa sepakan percuma minit-minit terakhir ketika menentang Kilmarnock. Sepakan itu membolehkan Celtic menjadi juara liga.

Gol sepakan percumanya membolehkan Celtic layak ke pusingan 16 pasukan terakhir Champions League 2006/2007 dan juara liga 2006/2007.

Kembali ke Yokohama

Selepas 8 tahun berkelana di Eropah, termasuk semusim yang penuh dengan kecederaan bersama Espanyol, Nakamura pulang ke Yokohama F. Marinos. Nakamura berpendapat pulang ke Yokohama adalah satu-satunya cara beliau untuk ke Piala Dunia 2010.

Selepas bersara daripada skuad kebangsaan yang bertanding dalam kempen Piala Dunia 2010, Nakamura menumpukan kariernya bersama Yokohama. Sehingga kini, beliau adalah kesebelasan utama pasukannya.

Kesimpulan

Salah satu sebab mengapa Nakamura dihormati pemain dan disayangi peminat adalah kerana sifat merendah dirinya. Meskipun dianggap lagenda, beliau mengaku permainannya masih mempunyai kelemahan.

“Saya tak boleh kekalkan keseimbangan badan ketika menggelecek dengan laju,” kata Nakamura ketika melihat Shinji Kagawa menggelecek dalam video ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN