Quantcast

BERITA

Shukor Adan Tekad Bawa Melaka United Berada Dalam Kelompok Tiga Teratas Liga Super

Bekas kapten FELDA United, Shukor Adan menyasarkan untuk membawa Melaka United berada dalam kelompok tiga pasukan teratas Liga Super 2019.

Anak jati Melaka ini akhirnya berpeluang menyarung jersi negeri kelahirannya selepas 20 tahun mewakili pasukan lain dan beliau mahu membalas budi pihak pengurusan Melaka United yang sudi menerima khidmatnya.

“Selepas meninggalkan Melaka begitu lama, kini saya kembali untuk menabur bakti dan mahu meningkatkan imej dan penampilan pasukan di Liga Malaysia.

“Pihak pengurusan menyasarkan kedudukan empat tangga teratas, namun secara peribadi saya mahu berada di kelompok tiga terbaik liga,” katanya dalam Berita Harian.

Shukor Adan menandatangani kontrak selama setahun dengan Melaka United. FOTO: MUSA

Shukor yang mempunyai pengalaman luas dalam arena bola sepak tempatan dan antarabangsa itu yakin dengan kualiti yang ada pada pemain baharu yang menyertai skuad Hang Tuah musim depan.

Dua bekas kapten yang berpengalaman turut memperkuatkan skuad Melaka United iaitu Safiq Rahim dan Razman Roslan selain kemasukan pemain bintang tempatan seperti Nazrin Nawi, Raimi Mohd Nor dan Gopinanthan.

Malah mereka kali ini dibimbing oleh bekas jurulatih Pahang yang pernah menjuarai Liga Super pada tahun 2004, Zainal Abidin Hassan sambil dibantu oleh jurulatih berpengalaman seperti Nidzam Adha Yusoff, Asri Ninggal dan Mazlan Wahid.

Melaka United mampu memberikan saingan sengit

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Datuk Mohd Yusof Mahadi menyifatkan kehadiran pemain yang masih dominan dengan bola sepak negara itu membuktikan Melaka kian berada dalam radar pemain tempatan bertaraf bintang.

“Jika sebelum ini skuad Hang Tuah kurang menjadi tumpuan pemain terkemuka, namun ia sudah berubah. Justeru kehadiran mereka diharap mampu menjenama pasukan ini ke peringkat lebih tinggi.

“Usaha menarik penyertaan pemain berkualiti juga memberi impak terhadap prestasi pasukan dan sokongan peminat ke stadium,” katanya.