Kuala Lumpur serius mahu kembali ke saingan Liga Super 2021 dengan kemasukkan beberapa pemain yang berpengalaman di Liga Malaysia seperti bekas kapten Harimau Malaya, Shukor Adan, S. Subramaniam dan juga pemain negara, Akram Mahinan.
Pemain-pemain senior seperti Shukor Adan, S. Subramaniam dan juga pemain yang dikekalkan, Indra Putra Mahyuddin diharapkan akan dapat membimbing rakan-rakan sepasukan untuk melepasi ranjau saingan Liga Premier dan meraih promosi ke Liga Super.
Ketika ditemui oleh wartawan Astro Arena, Akbar Sahari, Shukor Adan menjelaskan yang skuad ini memiliki keinginan yang kuat dan bersandar itu, pemain berusia 40 tahun itu yakin mampu memenuhi sasaran yang telah ditetapkan oleh pengurusan.
“Apa yang kita tahu daripada pihak pengurusan, sasaran untuk musim hadapan, kita seharusnya naik ke Liga Super 2021. Jadi, dengan pemain-pemain yang ada, insyaAllah,” ujarnya.
Ditanyakan mengenai Kuala Lumpur dibarisi pemain ‘kuda tua’ di dalam pasukan, Shukor Adan jelas tidak bersetuju kerana hanya beberapa pemain yang sudah lebih 30 tahun, selainnya adalah pemain muda dan memiliki keazaman yang sangat tinggi.
“Apa yang kita lihat pasukan ini average. Ada yang senior dan ada yang muda. Tetapi apa yang kita lihat, walaupun ada yang muda, mereka ada keinginan. Apa yang penting adalah keinginan untuk membantu Kuala Lumpur layak ke Liga Super,” jelasnya lagi sambil menyatakan yang The Hawks mungkin pasukan terakhirnya.
“Mungkin. Mungkin. Sudah masuk 41 tahun pada tahun hadapan, rasanya sudah tidak ke mana-mana. Sebelum ini mahu tutup tirai [bersara] dengan pasukan Melaka [United], tetapi apa kan daya, Melaka pun, cara [pengurusan] tidak cantik,” tambahnya lagi.
Menurut Shukor Adan, beliau merasakan yang pengendali Kuala Lumpur, Mohd Nidzam Adha adalah jurulatih yang bagus dan ini yang diperlukan oleh generasi-generasi baharu bola sepak Malaysia, seorang jurulatih yang miliki pendekatan baharu.
“Bagi penyokong Kuala Lumpur, doakan yang baik-baik yang pasukan ini akan naik semula ke Liga Super 2021,” ucapan Shukor Adan kepada penyokong-penyokong Kuala Lumpur sempena musim 2020 yang bakal membuka tirai pada hujung Februari.
Kredit Foto: KL Hawks