Kapten Felda United, Shukor Adan ternyata kagum dengan kemampuan pasukan Kedah melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2017, walaupun tan 2 tongak import penting dalam perlawanan separuh akhir kedua pada malam tadi.
Kedah melangkah ke perlawanan akhir ketiga secara berturut-turut, selepas menewaskan Felda United 2-0 (agregat 3-1). Sebelum ini Kedah turut pernah menewaskan Felda di peringkat dan pertandingan yang sama pada 2015.
Dalam perlawanan pada malam tadi, Kedah turun tanpa khidmat penyerang dari Denmark, Ken Ilso Larsen dan juga perancang utama di bahagian tengah, Liridon Krasniqi.
Khidmat Ilso terpaksa dilupakan dalam perlawanan pada malam tadi akibat daripada kecederaan buku lali ketika latihan akhir menuju perlawanan semalam. Manakala Liridon digantung satu perlawanan kerana jumlah kutipan kad kuning.
Walaupun 2 gol pasukan Kedah dijaringkan oleh seorang lagi pemain import, Sandro Mendonca, kemenangan Kedah pada malam tadi tidak akan akan tercapai tanpa sumbangan pemain muda tempatan pasukan Kedah.
Skuad kendalian Nidzam Adzha Yusoff hanya menurunkan pemain muda Farhan Roslan dan Syafiq Ahmad bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkanoleh Ilso dan Liridon.
Percaturan itu berjaya membawa mereka layak ke final buat kali ketiga berturut-turut menerusi agregat 3-1. Malah aksi kedua-duanya wajar dipuji dengan gerakan-gerakan pantas dan bijak bagi membuka ruang dan peluang buat Sandro melakukan penyudah.
“Bagi saya pemain agak kecewa, apa yang kita buat pada babak pertama tak menjadi, nampak Kedah lebih bagus.
“Saya harus mengucapkan tahniah kepada pemain Kedah walaupun tanpa pemain import, mereka masih mempamerkan aksi-aksi yang baik dan masih ada lagi pemain tempatan yang berkualiti,” kata Shukor.
Malah prestasi pemain tempatan lain seperti Baddrol Bakhtiar dan juga Amirul Hisyam kelihatan lebih menyerlah dan yakin tanpa kehadiran Liridon.
Shukor Adan yang sudah mencapai usia 38 tahun nyata kecewa dengan kekalahan pada malam tadi, namun akur nasib tidak menyebelahi mereka.
Malah anak buah B.Sathianathan tampil lebih bertenaga dengan mempelbagaikan variasi serangan pada separuh masa kedua. Salah satu dari percubaan Thiago Augusto terkena palang, manakala rembatan deras dari jarak dekat Wan Zack Haikal berjaya ditampan oleh Mohd Ifwat.
“Selepas mendengar kata-kata daripada jurulatih Sathianathan ketika rehat, kami bermain dengan lebih baik pada separuh masa kedua tapi tak ada rezeki untuk menjaringkan gol, peluang yang kita ada terkena palang dan diselamatkan penjaga gol Kedah,” kata bekas pemain kebangsaan itu.