Shopee terus menghangatkan Liga Malaysia setelah memperbaharui kerjasamanya bersama Malaysian Football League (MFL) untuk menjadi Pasaran Atas Talian Eksklusif Rasmi buat tahun ketiga. Kerjasama tersebut termeterai di majlis menandatangani penajaan kejohanan Piala FA di Kota Damansara, petang semalam.
Shopee bukan nama asing bagi rakyat Malaysia; platform e-dagang tersebut menawarkan pengalaman membeli-belah atas talian yang mudah, selamat dan menarik yang dinikmati oleh berjuta-juta orang setiap hari. Kerjasamanya bersama MFL, sejak tahun 2018, merangkumi Shopee sebagai penaja kejohanan untuk Piala FA.
Penajaan itu menandakan komitmen mereka untuk membantu dan memberikan sokongan padu kepada pembangunan bola sepak, sukan nombor satu di negara ini yang menyatukan rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat.
Penyertaan semula ke dalam arena bola sepak sebagai penaja besar menandakan niat yang jelas daripada pihak tersebut dalam menyokong dan menaik taraf bola sepak tempatan, terutama melalui perkembangan peringkat akar umbi.
Sejak kerjasamanya bersama MFL bermula, Shopee telah merekodkan hasil yang menggalakkan; aksesibiliti tiket pada platformnya membolehkan lebih ramai peminat untuk menghadiri perlawanan.
Pada tahun 2019, bahagian kehadiran di stadium meningkat apabila lebih banyak tiket dibeli di Shopee. Pada tahun yang sama, peringkat-peringkat akhir Piala FA menyaksikan jualan 15,000 tiket dalam masa beberapa minit sahaja selepas permulaan jualan.
Ian Ho, Pengarah Urusan Serantau, Shopee berkata, “Pembangunan sukan adalah komitmen jangka panjang, tetapi ia adalah satu komitmen yang kami sedia galas kerana kami tahu bahawa perubahan tidak boleh berlaku semalaman.”
”Perjalanan kami bermula dengan Shopee memudahkan para peminat dalam kalangan rakyat Malaysia menghadiri perlawanan yang mereka inginkan dengan menjual tiket di platform kami. Selain daripada mendekati peminat bola sepak dan kelab yang sedia ada, kami bertanya kepada diri sendiri bagaimana kami boleh membantu MFL menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk menyokong bola sepak tempatan tanpa mengira sama ada mereka peminat sebuah kelab.”
”Kami tahu bahawa jawapannya terletak dalam kemudahan dan eksklusiviti. Dalam usaha mencapai matlamat ini, kami kini memperkenalkan manfaat baharu bagi mereka yang membeli tiket di Shopee. Kemudahan- kemudahan eksklusif termasuk Laluan Tetamu Khas (Special Guest Lane) dan kawasan tempat duduk yang khusus untuk Shopee.”
Bagi perlawanan yang terpilih sahaja, peminat bola sepak yang membeli tiket mereka di Shopee boleh menikmati Laluan Tetamu Khas untuk memasuki stadium tanpa perlu beratur bersama pengunjung stadium yang lain. Di samping itu, kawasan tempat duduk khusus untuk Shopee akan diadakan untuk mereka supaya mereka tidak perlu berasak-asak dengan penonton yang lain bagi mendapatkan tempat duduk yang baik untuk menonton perlawanan.
Dalam pada itu, mereka juga mengembalikan promosi Beli 1 Percuma 1 kegemaran ramai untuk tiket perlawanan menerusi pelbagai kempen membeli-belah platform tersebut seperti Shopee 3.3 Mega Sale yang berlangsung dari sekarang hingga 3 Mac 2020.
Kredit foto: Malaysian Football League