4-1. Itulah keputusan pada kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu, memihak kepada pasukan tuan rumah, Terenganu FC.
Namun pada kali ini senarionya berbeza. Pertamanya, ini adalah pertandingan Piala FA. Menang mara, kalah tersingkir.
Selangor turut tampil berbeza; baik dari segi pemilihan pemain, formasi dan juga pengendali.
Separuh masa pertama
Sejak wisel sepak mula ditiup pengadil, kedua-dua pasukan mengamalkan corak permainan rancak dengan serangan bersilih ganti ke kubu lawan.
Peluang buat Selangor hadir seawal pada minit ke-4 pelawanan, namun percubaan dari jarak dekat Rufino Segovia berjaya ditampan Suffian Abd Rahman.
Terengganu FC turut tidak ketinggalan mengancam kubu pertahan Selangor, dengan larian dan hantaran berbahaya sepanjang 10 mit pertama perlawanan.
Kesungguhan Selangor untuk menyerang untuk mencari gol awal bagaimanapun dihukum.
Serangan balas yang dimulakan oleh Ashari Samsudin membenarkan Tchetche Kipre melepasi perangkap offsaid, sebelum Shahrul Aizad menyambar hantaran rakan sepasukannya itu untuk meletakkan Terengganu FC di hadapan pada minit ke-24 perlawanan.
Namun gol itu tidak kekal lama. Dua minit kemudian, hantaran Ilham Udin daripada sebelah kiri yang terbias oleh pertahanan Terengganu FC, ditanduk mudah oleh Rufino untuk gol penyamaan Selangor.
Pada minit ke-32 perlawanan menyaksikan Rufino mensia-siakan peluang keemasan apabila sekadar menolak lemah hanyatan cantik Amri Yahyah, mudah ke dakapan penjaga gol Terengganu FC.
Selangor terus menguasai perlawanan selepas itu, namun gagal menghasilkan output yang dikehendaki untuk perlawanan babak pertama berakhir Terengganu FC 1 Selangor 1.
Separuh masa kedua
Babak kedua perlawanan turut menyaksikan kdua-dua pasukan mengamalkan corak permainan pantas dan menyerang.
Minit ke-58 perlawanan menyaksikan Shahrul Aizad berhadalan satu lawan satu Norazlan, selepas menerima hantaran Tchetche Kipre, namun keberanian penjaga gol Selangor itu menafikan Terengganu untuk berada di hadapan.
Sebaliknya, selang beberapa minit selepas itu gerakan set pieces oleh barisan pemain Selangor menyaksikan Evan Dimnas merembat cantik placing yang dihasilkan oleh Pacheco untuk Selangor mendahului 2-1.
Derita Terengganu beterusan di dalam perlawanan ini apabila pengadil perlawanan memberikan sepakan penalti buat Selangor selepas Joseph Kallang dijatuhkan oleh Fitri Omar di dalam kotak penalti.
Rufino Sebogia tenang menewaskan Suffian Rahman untuk Selangor terus selesa dengan jaringan 3-1 di hadapan.
Terengganu FC kemudiannya melakukan beberapa gerakan berbahaya ke arah kubu Selangor, namun kecemerlangan Norazalan di hadapan gawang mengecewakan anak buah Irfan Bakti.
Walaupun Terengganu FC cuba bangkit dengan serangan bertali arus, Selangor kekal utuh dengan kemenangan 3-1, sekaligus melayakkan diri ke peringkat suku akhir Shopee Piala FA Malaysia 2018.
Terengganu FC: Suffian Rahman (PG), Fitri Omar, Kamal Azizi, Lee Andrew, Thierry Bin, Abdul Malik Ariff (52′ J. Parthiban), Shahrul Aizad (63′ Ismail faruqi), Andul Latiff Suhaimi, Tchetche Kipre (K), Igor Zanjic, Ashari Samsudin (57′ Faiz Nasir)
Selangor FA: Norazlan (PG), K. Kannan, Ashmawi, Razman (53′ W. Pacheco), Namathevan, Halim, Amri Yahyah, Evan Dimnas (72′ Saiful Ridzwan) Joseph Kallang (77′ Shahrul Iqwan), Rufino Sebogia, Ilham Udin.