Shopee Piala FA: Selangor Gagah, Terengganu Selesa Mara Ke Pusingan Ketiga

Selangor, Sandro, Syazwan

Lima aksi pusingan kedua Shopee Piala FA 2019 yang juga melibatkan satu pertembungan tumpuan iaitu Selangor yang berkunjung ke Kota Bharu menentang Kelantan telah pun berlangsung setakat ini.

Kelantan vs Selangor

Selangor yang masih dalam mood kemenangan ke atas Terengganu FC pada Jumaat lalu berjaya menundukkan sebuah lagi pasukan Pantai Timur, Kelantan dengan keputusan 3-0.

Babak pertama menyaksikan penjaga gawang The Red Warriors, Damien Lim telah dipaksa bekerja keras untuk menafikan beberapa percubaan berbahaya oleh pelawat, The Red Giants.

Antaranya menerusi percubaan pemain sayap, Syazwan Zainon di minit ke-25 dan percubaan deras dari luar kotak penalti oleh penyerang, Sandro pada minit ke-37.

Foto: MFL

Sehinggalah pada minit ke-62, Syazwan Zainon akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila larian solonya dari tengah padang berjaya disudahkan untuk gol pertama pelawat.

Berselang 3 minit, giliran pemain yang semakin menjadi buah mulut ketika ini, Mohd Faiz Nasir pula meledak gol kedua perlawanan hasil rembatan derasnya menewaskan Damien Lim.

Mohd Faiz Nasir sekali lagi mencuri tumpuan untuk gol kedua peribadinya dan gol ketiga Selangor, 3 minit menuju wisel penamat seterusnya memberikan kemenangan buat pelawat.

Terengganu FC vs Ultimate FC

Sementara itu di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah pula, Terengganu FC mudah menjinakkan kelab daripada saingan Liga M3, Ultimate FC dengan kemenangan besar 5-0.

Sanjar Shaakhmedov
FOTO: Ghazali Kori / BH

Terengganu juga telah dipaksa bangkit memperbaiki aksi di babak kedua selepas hanya satu gol terhasil di babak pertama, di minit pertama hasil jaringan penyerang, Ashaari Shamsudin.

Ketiadaan beberapa tonggak utama seperti Lee Tuck dan Kipre Tchetche dilihat telah menjejaskan sedikit rentak tuan rumah dalam mencari rentak dan memburu gol.

Percaturan Irfan Bakti dengan memasukkan Sharin Sapien dan Ahmad Syamim Yahya di babak kedua berjaya menghidupkan semula jentera tengah Sang Penyu.

Minit ke-73, hasil umpanan Sanjar Shaakhmedov, pertahanan Terengganu, Igor Zonjic berjaya menanduk mudah untuk menewaskan Afif Aizad Azman di gawang Ultimate FC.

Sanjar Shaakhmedov sekali lagi menjadi watak utama buat pasukannya apabila meledak gol ketiga tuan rumah juga menerusi tandukan selepas Afif Aizad menampan percubaan lawan.

Dua gol Sang Penyu lagi dijaringkan oleh kapten, Nasrullah Hanif Johan melalui sepakan penalti dan juga pemain sayap, Khairul Izuan Rosli seminit sebelum perlawanan ditamatkan.

Tiga lagi perlawanan menyaksikan Jerantut FA menang selesa 3-0 ke atas JBFA, Felda United menang 1-0 ke atas Kuching FA dan UKM FC menang besar 5-1 ke atas Protap FC.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN