Skuad gergasi merah mempunyai misi yang penting malam ini apabila bakal berdepan FELDA United untuk aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Shah Alam.
Bagi menghidupkan peluang beraksi di kejohanan peringkat Asia musim depan, Selangor tidak mempunyai pilihan lain dan wajib menang untuk mara ke suku akhir.
Bagaimanapun, pengendali skuad itu, B. Satiananthan mahu para pemainnya mengawal emosi susulan insiden kontroversi membabitkan Nurridzuan Abu Hassan, ketua pasukan, Amri Yahyah, dan penjaga gol, Farizal Harun, yang didapati melanggar etika profesional sebagai pemain.
Malah, beliau turut mengakui anak buahnya berada dalam keadaan tertekan berikut terpaksa berdepan dengan pelbagai kecaman dan kritikan yang dilemparkan kepada mereka oleh para penyokong.
“Pemain sememangnya berasa tertekan, dalam kem Selangor siapa yang tidak berasa tertekan?
“Saya sudah pesan kepada pemain bahawa mereka perlu mengawal emosi atas makian dan ejekan.
“Pemain perlu faham kerana biasalah peminat, setakat itu yang mereka boleh lakukan. Jadi, pemain perlulah tahan emosi,” katanya dalam Stadium Astro.
Mengulas mengenai pertemuan menentang skuad kendalian Nidzam Jamil malam ini, Satiananthan mungkin akan menurunkan beberapa pemain simpanan berikutan kecederaan tonggak utama.
Antaranya, dua pemain import, Taylor Regan dan Endrick Dos Santos, selain bakal kehilangan Nurridzuan yang berdepan penggantungan perlawanan.
“Sejak ketiadaan Rufinho Segovia ketika berdepan Kuala Lumpur, kami masih tetap perlu teruskan permainan.
“Saya perlu terima hakikat bahawa Amri akan digantung bagi perlawanan akan datang kerana dia sudah mengumpul tiga kad kuning.
“Oleh itu, sesiapa yang akan diturunkan kelak perlu buktikan bahawa mereka boleh beraksi,” katanya.
Selain pertemuan di antara Selangor dan Felda, aksi esok turut menampilkan pertemuan Kelantan United menentang Terengganu sementara Kedah melayani kunjungan PJ City FC.
Empat perlawanan lagi berlangsung berselang sehari dengan tumpuan tentu terarah kepada pertemuan di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan PKNS FC.