Penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia menjadi sandaran skuad Gergasi Merah untuk terus mempamerkan sentuhan berbisa apabila berdepan PKNS FC pada separuh akhir kedua Shopee Piala FA di Stadium Shah Alam, malam esok.
Menurut pengendali pasukan itu, Muhammad Nazliazmi Nasir, beliau lega kerana pemain yang berusia 33 tahun itu cukup profesional melaksanakan tanggungjawabnya di padang dan atas sebab itulah beliau yakin ayam tambatan itu mampu membantu pasukannya melangkah ke final.
“Bagi saya, dia seorang pemain profesional bukan saja pada setiap perlawanan, malah juga ketika sesi latihan, dan ini membuktikan komitmen tingginya dalam usaha membantu pasukan mencatat kejayaan.
“Kita boleh saksikan pada aksi Liga Super bertemu Pahang Selasa lalu, dia bersungguh-sungguh mendapatkan bola untuk menjaringkan gol.
“Ternyata, usahanya berhasil dengan menjaringkan gol penyamaan yang membolehkan Selangor mengutip satu mata selepas seri 1-1 dengan Pahang.
“Jadi, saya menjangkakan dia akan lebih konsisten pada pertemuan dengan PKNS FC nanti dengan sokongan daripada bahagian tengah,” katanya kepada Berita Harian.
Walaupun mempunyai kelebihan bekalan empat gol hasil kemenangan separuh akhir pertama tetapi bagi Nazliazmi, beliau menganggap keputusan itu masih belum selamat dan tidak menjaminkan Selangor mara ke pentas final.
Ini kerana, PKNS FC pasti akan bangkit di halaman sendiri dan bermain mati-matian untuk memadamkan defisit gol Selangor.
“PKNS FC juga sudah biasa bermain di Stadium Shah Alam berbanding Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras dan pemain perlu lebih bersedia untuk mengekang asakan lawan.
“Sebab itu saya sentiasa tegaskan kepada pemain supaya mereka kekal fokus dan untuk menjamin Selangor layak ke final, kita perlu menjaringkan satu gol (di laman lawan),” katanya.