Selepas sekian lama tidak berada di pentas final Piala FA, skuad Gergasi Merah tidak mahu lepaskan peluang untuk menjulang kejuaraan Piala FA buat kali keenam apabila bakal beraksi di separuh akhir pertama menentang pasukan ‘adik’, PKNS FC di Stadium Bola sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.
Pengendali Selangor, Nazliazmi Nasir berkata kepada Berita Harian, beliau tetap waspada dengan ancaman pasukan lawan yang dikendalikan oleh jurulatih yang berpengalaman, Datuk K Rajagobal.
Dalam aksi pertama Liga Super, Selangor menang 2-1 sebelum kedua-duanya terikat 2-2 pada perlawanan timbal balik.
Misi sekurang-kurangnya layak ke final buat kali pertama sejak menjuarai pertandingan ini pada 2009 mungkin sukar sekiranya anak buahnya gagal menghadirkan keputusan positif pada aksi kali ini.
Sedar ia adalah pertandingan berbeza berbanding saingan Liga Super, Nazliazmi akui percaturan terbaik perlu direncanakan bagi mengelak daripada jadi mangsa Semut Merah yang turut memburu misi ke final seperti dilakukan dua tahun lalu.
“Ini perlawanan separuh akhir dan kami tidak boleh ambil mudah. Mungkin saya akan buat sedikit perubahan terhadap pasukan terutamanya membabitkan senarai kesebelasan utama,” katanya.
Dalam masa sama, Nazliazmi akui prestasi pemain ketika seri dengan pasukan tangga kedua Liga Super, Perak sebelum ini sesuatu yang positif buat pasukan sebelum menghadapi tugas getir dengan PKNS FC.
“Namun saya akan buat penilaian secara menyeluruh dan menyediakan perancangan taktikal yang lebih baik. Apa pun hanya yang terbaik akan dapat tempat dalam senarai utama,” katanya.