Quantcast

LIGA MALAYSIA

Shopee Piala FA: Ronaldo Ledak Dua Gol Bawa Perak Ke Separuh Akhir

Persaingan sengit antara Perak dan PKNP FC dalam aksi kedua suku akhir Shopee Piala FA 2019 di Stadium Ipoh, Perak, berakhir dengan kemenangan berpihak kepada tuan rumah, Perak menerusi keputusan penuh dan agregat 2-1, sebentar tadi.

The Bos Gaurus berjaya menafikan hasrat PKNP FC di minit-minit akhir untuk mengulangi pencapaian edisi lalu apabila penyerang baharu, Ronaldo berjaya menjaringkan gol kedua tuan rumah seterusnya menempah tiket untuk melangkah ke separuh akhir.

Dengan menyenaraikan dua pemain baharu di jentera hadapan, Perak bergelut mencari kombinasi hantaran dengan PKNP FC dilihat lebih berjaya menerusi tiga percubaan dalam 20 minit pertama menerusi Hafiz Ramdan dan Thomas Abbey.

Tampil beraksi buat pertama kali, Careca dan Ronaldo cuba membina keserasian di antara mereka dan hasil gerakan mereka berdua telah berjaya mencipta percubaan pertama The Bos Gaurus di minit ke-21 menerusi lambungan Careca, namun tersasar.

Dan di minit ke-23, hasil hantaran kemas Shahrel Fikri kepada Ronaldo yang berjaya melepasi kawalan Amani Aquinaldo akhirnya berjaya menewaskan Asyraaf Omar di gawang untuk gol pertama Perak – juga gol pertamanya di saingan Liga Malaysia.

Selepas gol pertama terhasil, barulah tampak tuan rumah berjaya mengawal perlawanan menerusi beberapa asakan ke kubu pelawat namun kelonggaran jentera hadapan mengecewakan mereka.

Giancarlo, PKNP FC, Perak

FOTO: PKNP FC

Sekali lagi, PKNP FC kecewa apabila Giancarlo gagal menyambar kemas bola yang terlepas daripada jangkauan Hafizul Hakim pada minit ke-35 untuk memberikan gol penyamaan buat pelawat – kedua terhampir selepas Hafiz Ramdan di minit ke-3.

Babak kedua bermula dengan percubaan pertahanan PKNP FC, Sukri Hamid yang berjaya ditepis Hafizul Hakim dan kemudian telah dikeluarkan oleh pertahanan The Bos Gaurus sebelum tandukannya di minit ke-52 pula ditepis keluar Hafizul Hakim.

Perubahan formasi kepada 4-4-2 oleh pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim berjaya memberi nafas baharu buat pelawat apabila mereka dilihat kembali mengimbangi penguasaan Perak.

Hampir 7 percubaan berjaya dicipta oleh PKNP FC dalam 20 minit babak kedua bermula, namun percubaan Giancarlo, Ibni Khozaimi dan Thomas Abbey gagal menewaskan Hafizul Hakim.

Akhirnya, gol yang dinanti-nanti oleh PKNP FC tiba di minit ke-72 menerusi ledakan kencang sepakan percuma penyerang, Giancarlo dari luar kotak penalti menewaskan Hafizul Hakim – jaringan pertamanya selepas kemarau gol dalam 6 perlawanan.

Melihatkan kebangkitan penguasaan lawan, Mehmed Durakovic membuat dua pertukaran dengan memasukkan pemain pantas, J. Partiban dan Firdaus Saiyadi untuk mengucar-kacirkan benteng lawan namun masih gagal membaiki rentak The Bos Gaurus.

Thomas Abbey, PKNP, Perak

FOTO: PKNP FC

Peluang terhampir Perak untuk kembali mendahului perlawanan hadir menerusi percubaan Shahrul Saad tetapi hanya menggegar palang yang dikawal oleh Asyraaf Omar pada minit ke-81.

Perak terus menekan pelawat dalam 10 minit terakhir dan akhirnya Ronaldo sekali lagi berjaya meledak gol buat The Bos Gaurus di minit ke-88 dan kali ini menerusi tandukan selepas menerima hantaran berpunca daripada sepakan penjuru.

Perak berjaya membaiki pencapaian edisi lalu apabila melangkah ke separuh akhir Piala FA 2019 dan akan menentang Pahang selepas ini. Keputusan ini membolehkan Perak menyamai pencapaian pada edisi 2016 – beraksi di pentas separuh akhir.

Perak: Hafizul Hakim (PG), Amirul Azhan, Shahrul Saad (K), Zac Anderson, Nazirul Naim, Nasir Basharudin (75′ Firdaus Saiyadi), Leandro Dos Santos, Shahrel Fikri (60′ J. Partiban), Nor Hakim Hassan (90′ Rafiuddin Roddin), Careca, Ronaldo

PKNP FC: Asyraaf Omar (PG), Fadhil Idris, Amani Aquinaldo, Pedro Victor, Faizzzwan Dorahim (45′ Ibni Khozaimi), Shukri Hamid, Ezanie Salleh, Yashir Pinto, Thomas Abbey (67′ Fazrul Hazli), Hafiz Ramdan (K), Giancarlo