Pengendali skuad PKNP FC, Abu Bakar Fadzim tidak mahu anak buahnya mengulangi kesilapan mudah seperti empat hari yang lalu apabila dibelasah 0-4 oleh pasukan ‘Abang’, Perak dalam saingan Liga Super.
Justeru itu, mereka tekad memberikan saingan sengit kepada skuad kendalian Mehmet Durakovic itu dalam pertembungan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam ini.
“Kami melakukan banyak kesilapan mudah, menyebabkan kami terhukum. Saya berharap pemain PKNP belajar daripada kesalahan lalu dan mengelak mengulangi kesilapan,” katanya dalam Stadium Astro.
Abu Bakar juga mahu anak buahnya merantai pergerakan Brendan Gan, Wunder Luiz dan Nor Hakim Hassan yang sering memberi masalah kepada pasukan mereka.
“Kami hanya berjaya mengekang Shahrel (Fikri Md Fauzi) tetapi mereka memiliki ramai pemain berwibawa, terutama di bahagian tengah. Itulah kekuatan Perak.
“Untuk malam ini, pemain saya perlu bekerja lebih keras untuk memastikan mereka ini tidak melakukan kemusnahan,” tambahnya.
Abu Bakar membayangkan melakukan rombakan pada pasukannya dalam usaha meningkatkan kemampuan untuk menyaingi Perak bagi mendapat keputusan memberangsangkan bagi membuat perhitungan dalam perlawanan kedua di Ipoh, nanti.
“Kami punyai rekod baik dalam Piala FA di mana berada dalam kelompok lapan terbaik sejak tiga musim berturut-turut,” katanya merujuk kejayaan mara ke suku akhir 2017 dan separuh akhir (2019).
Sementara itu, Mehmet Durakovic menjangkakan PKNP FC akan bermain habis-habisan untuk memastikan bekalan selesa dibawa ke Ipoh pada suku akhir kedua Piala FA nanti.
“Sudah tentu suasananya berbeza kali ini. Laluan kami pasti sukar malam ini.
“Jurulatih Abu Bakar (Fadzim) sudah tentu menyusun strategi baru selepas pertemuan pertama.
“Jadi, pemain Perak tidak boleh ambil mudah dan bersikap sambil lewa. Mereka berada dalam keadaan dan perasaan baik ketika ini.
“Selepas kejayaan Sabtu lalu, keyakinan mereka semakin tinggi dan saya berharap mereka akan mengekalkan momentum ini,” ujarnya.