Walaupun mencatat dua kekalahan berturut-turut kepada Melaka United dan Terengganu FC pada aksi Liga Super, skuad PKNP FC enggan mengangkat bendera putih dan mereka sedia lakar kejutan ke atas Pahang pada separuh akhir pertama Piala FA, esok.
Namun begitu, mereka tetap berdepan misi sukar untuk membawa pulang bekalan dari Stadium Darul Makmur, Kuantan tercapai agar mereka lebih selesa mengharungi separuh akhir kedua di Ipoh, seminggu selepas itu.
Ketua pasukan, Shahrel Fikri Md Fauzi berkata kepada Berita Harian, memandangkan jaringan di tempat lawan boleh dijadikan senjata untuk menyingkirkan musuh, PKNP tidak berhasrat untuk bertahan sepanjang perlawanan sebaliknya akan tetap menyerang untuk mendapatkan gol.
“Kami akan turun sebagai pasukan bukan pilihan kerana Pahang memiliki kekuatan di semua posisi terutama lima pemain import sedangkan kami hanya menggunakan tiga import.
“Tapi, saya yakin, jurulatih kami (Abu Bakar Fadzim) sudah mempunyai perancangan tersendiri untuk memerangkap pasukan itu. Selepas kalah kepada Melaka Selasa lalu, beliau sudah mengenal pasti kelemahan kami dan segera merombak taktikal pasukan untuk berdepan Pahang.
“Formula yang beliau rangka bertepatan dengan misi kami untuk menjaringkan gol di tempat lawan. Jadi, sudah pasti kami tidak akan hanya duduk bertahan sepanjang 90 minit,” jelas Shahrel.
Namun, ayam tambatan PKNP itu tidak menafikan keampuhan di benteng tidak akan diabaikan bagi mengelak daripada Tok Gajah sewenang-wenangnya membolosi gawang mereka. Oleh itu PKNP akan mengambil pendekatan berhati-hati bagi mengelak keghairahan memburu jaringan memakan diri sendiri.
“Memburu gol di tempat lawan memang penting namun perlu dipastikan pintu gol kami tidak dibolosi terutama dengan jaringan besar.
“Kami perlu memperkemaskan benteng kerana bakal berdepan pemain seperti (Mohamadou) Sumareh, (Patrick) Cruz, (Austin) Amutu dan Issey (Nakajima) yang pasti menjadi ancaman utama,” katanya.