Shopee Piala FA: PKNP FC Kekang Pahang, Terikat Di Darul Makmur

Aksi separuh akhir pertama Shopee Piala FA diteruskan pada malam ini dengan pertembungan finalis musim lalu, Pahang bertemu PKNP FC di Stadium Darul Makmur.

Pahang selaku tuan rumah pastinya turun dengan keinginan mahu meraih kemenangan selesa untuk dibuat bekalan ke tempat lawan  dalam pertembungan kedua pada 1 Julai depan.

Sementara PKNP FC yang layak selepas menewaskan pasukan serba lengkap, Felda United pastinya ingin meneruskan kemaraan mereka sehingga ke pentas final pada musim ini.

pknp fc, pahang

Separuh masa pertama

Babak pertama menyaksikan Pahang menguasai lebih perlawanan walaupun pada awalnya mereka telah dikejutkan dengan gol pendahuluan pasukan pelawat pada minit ke-13.

Pemain PKNP FC, Sukri Hamid meledak gol pertama berpunca daripada sepakan percuma yang diambil oleh kapten, Shahrel Fikri yang gagal dikeluarkan oleh benteng Tok Gajah.

Penjaga gol tuan rumah, Helmi Eliza gagal menyelamatkan buat kali kedua percubaan kaki kiri Sukri selepas menyelamatkan sepakan percuma Shahrel Fikri sebelum itu.

Ini merupakan bolos pertama buat Tok Gajah selepas kali terakhir gawang mereka dirobek dalam saingan Piala FA adalah pada pusingan kedua menentang ATM pada Mac lalu.

pknp fc
Foto: FB PKNP FC

Berpunca daripada gol tersebut, Pahang tampak bangkit untuk menajamkan asakan mereka. Austin Amutu dan Mohamadou Sumareh dikerahkan untuk menembusi benteng lawan.

Wan Zaharulnizam dan Issey Nakajima mendapat peluang untuk menjaringkan gol menerusi deretan asakan yang direncanakan oleh Pahang, namun semuanya disia-siakan.

Akhirnya, Wan Zaharulnizam berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-25 hasil kesilapan penjaga gol PKNP FC, Asyraaf Omar yang hanya membiarkan gawangnya ditembusi.

Dari luar kotak penalti, dia membuat lambungan mengelirukan melewati pertahanan dan penjaga gol PKNP FC selepas mendapat hantaran yang bermula daripada sepakan penjuru.

Separuh masa kedua

Barangkali mahu memberikan sentuhan penyudah yang lebih efektif, ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh memasukkan Patrick Cruz menggantikan Salamon Raj di babak kedua.

Patrick Cruz merupakan wira buat Pahang apabila jaringan hatriknya dalam aksi suku akhir sebelum ini berjaya menundukkan JDT di Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos, Larkin.

Pahang berpeluang untuk mendahului perlawanan apabila Amutu berjaya melepasi kawalan pada pertengahan babak kedua namun penjaga gol PKNP FC berjaya menafikan gerakkannya.

Pujian harus diberikan kepada penjaga gol PKNP FC, Asyraaf Omar kerana dia telah beberapa kali melakukan aksi menyelamat yang baik untuk menafikan percubaan Tok Gajah.

pknp fc, pahang
Foto: FB Pahang FA

Daripada 6 percubaan tepat Pahang ke pintu gawang kawalannya, Asyraaf hanya bolos sekali, itupun di babak pertama. Dia kekal kebal dalam aksi babak kedua.

PKNP FC juga memiliki beberapa peluang untuk menguji penjaga gawang tuan rumah, namun seringkali dikecewakan oleh kawalan bola yang kurang baik oleh penyerang, Franklin Anzité.

Issey Nakajima terlepas peluang keemasan di minit-minit akhir perlawanan apabila gagal menyambut umpanan Amutu betul-betul di depan gawang lawan.

PKNP FC telah berjaya mengekang Pahang daripada memenangi dengan selesa perlawanan pada malam ini dan mereka juga berkelebihan dengan satu gol di tempat lawan.

Perlawanan tamat dan menyaksikan Pahang dan PKNP FC terikat dengan keputusan 1-1. Pertarungan ini akan bersambung di perlawanan separuh akhir kedua pada 1 Julai depan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN