Quantcast

BERITA

Shopee Piala FA: Pahang Anggap UKM FC Sebagai Lawan Yang Kuat

Malam ini juara bertahan Piala FA, Pahang bakal turun beraksi menentang pasukan universiti, UKM FC dalam saingan pusingan ketiga Piala FA di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Biarpun kebanyakan pemain Pahang masih lagi kepenatan selepas menewaskan PKNS FC, 2-1 dalam saingan Liga Super Ahad lepas, ia bukan penghalang utama untuk mereka meneruskan rentak cemerlang bagi merebut tiket ke suku akhir.

Bagaimanapun, penyerang import skuad Tok Gajah, Dickson Nwakaeme tidak mahu rakan sepasukannya memandang rendah pada lawan kerana berpandangan setiap pasukan pasti akan menampilkan aksi terbaik untuk mencapai kemenangan.

“Dalam kamus bola sepak saya, tiada pasukan yang boleh dilabel sebagai ‘underdog’.

“Permainan ini membabitkan 11 pemain menentang 11 pemain yang lain, kami semua adalah manusia biasa dan inilah bola sepak. Sebaliknya, saya anggap Pahang adalah pasukan ‘underdog’ sebenar.

“Setiap pasukan sama sahaja, mereka turun untuk bermain bola sepak dan untuk itu, tiada pasukan boleh dilabel ‘underdog’,” katanya dalam Stadium Astro.

Kesebelasan utama Pahang ketika menentang PKNS FC. FOTO: Pahang FA

Selepas menyumbat satu gol ke atas PKNS FC, Dickson akui tidak sabar turun beraksi untuk memastikan tahap kecergasannya berada dalam keadaan terbaik.

“Keadaan saya bertambah bagus. Selepas lama tidak mengharungi aksi 90 minit, ia langkah yang baik dan keadaan saya semakin pulih,” katanya lagi.

Sementara itu, pemain tengah skuad Tok Gajah, Nor Azam Azih, berpendapat UKM bukan lawan yang mudah untuk ditundukkan walaupun pasukan itu beraksi dalam saingan Liga Premier. 

“Saya difahamkan, UKM bukannya lawan yang mudah untuk ditewaskan dalam saingan Liga Perdana biarpun mereka berada di tangga ketujuh liga ketika ini.

“Atas faktor itu, kami tidak boleh memandang rendah keupayaan lawan kerana mereka pasti melakukan segala-galanya untuk mengisi slot suku akhir Piala FA musim ini.

“Biarpun kami berada pada prestasi terbaik, segala peluang yang ada diharap dapat disempurnakan sebaik mungkin di bahagian serangan,” katanya dalam Berita Harian