Hasrat skuad gergasi merah untuk menempah tiket ke pusingan kelayakan AFC Champions League (ACL) musim hadapan tidak menjadi kenyataan selepas mereka dijinakkan oleh Pahang 2-0 di perlawanan akhir Shopee Piala FA 2018.
Menurut pengendali Selangor, Nazliazmi berkata skuad Tok Gajah jauh lebih berpengalaman berbanding pasukannya ketika beraksi di pentas final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Bercakap kepada Berita Harian, beliau mengakui anak buahnya gugup kerana kebanyakan pemain kurang berpengalaman beraksi di perlawanan akhir.
“Saya bersetuju bahawa barisan pemain agak gugup kerana kekurangan pengalaman. Pengalaman yang memisahkan kita pada malam ini apabila mereka jelas dibarisi pemain yang sudah biasa beraksi di perlawanan akhir.
“Namun saya melihat ini memberi pengalaman yang berguna buat saya khususnya membabitkan keputusan yang perlu dibuat apabila berdepan situasi seperti yang berlaku pada aksi sebentar tadi.
“Apapun, saya yakin pemain muda ini akan menjadi lebih matang dan lebih baik dengan pengalaman yang berharga sebegini.” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Pada aksi final itu, Nazliazmi membuat percaturan berani dengan menurunkan empat pemain muda dalam kesebelasan utama iaitu K Kannan, Muhd Amirul Ashraff Ariffin, Syahmi Safari dan juga D Kugan.
Kali terakhir Selangor menjuarai Piala FA ialah pada tahun 2009 apabila menewaskan Kelantan 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti.
Pengendali Pahang, Dollah Salleh tidak sangka anak buahnya mempamerkan prestasi menakjubkan disebalik kehilangan beberapa pemain utama kerana dilanda kecederaan.
“Hampir dua bulan kita tidak dapat menggunakan kesebelasan utama yang terbaik. Kebetulan malam ini ia menjadi,” kata Dollah.
“Begitu juga dengan (Patrick Dos Santos) Cruz. Selepas sebulan tidak berlatih, dia hanya dua hari menjalani latihan.
“Apa pun, kita sepatutnya boleh beraksi lebih baik daripada apa yang dipamerkan pada perlawanan ini.”
Tok Gajah membuka jaringan pada menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti daripada Muhd Nor Azam Abdul Azih pada minit ke-22 sebelum melengkapkan gol kedua menerusi penalti yang disempurnakan oleh Patrick Cruz.