Quantcast

BERITA LIGA MALAYSIA

Shopee Piala FA: Kedah Iringi Kuala Lumpur Ke Suku Akhir

Juara Piala FA 2017 menepati ramalan dengan melangkah ke suku akhir saingan Piala FA musim ini selepas menundukkan Petaling Jaya City (PJ City) dengan jaringan 2-0 di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Skuad helang merah itu tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pembukaan melalui pemain import mereka, Renan Alves seawal minit kedua yang mengelirukan penjaga gol PJ City, Muhaimin Mohamad sekali gus menggamatkan penonton tuan rumah.

Bagaimanapun, Renan dilayangkan kad kuning apabila bertindak membuka jersi ketika meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan.

Tersentak dengan jaringan itu, barisan serangan PJ City cuba menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan, namun ketangkasan penjaga gawang Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim berjaya menepis beberapa percubaan berbahaya.

Kedah berpeluang menambah jaringan pada minit ke 25  melalui pemain tengah import, Jonatan Bauman namun tampanannya melepasi palang gol. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Limi minit aksi separuh masa kedua bermula, penyerang skuad kebangsaan, Zaquan Adha Abd. Razak menceriakan lebih 7,000 penyokong tuan rumah apabila berjaya menendang masuk bagi menewaskan penjaga gol lawan, Muhaimin Mohamad.

Pasukan pelawat yang melakukan beberapa pertukaran termasuk membawa masuk bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali pada minit ke-56 dilihat tidak mampu menghalang kemaraan tuan rumah sebelum kemenangan berpihak kepada Kedah dengan jaringan 2-0.

Satu lagi aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Bandaraya, menyaksikan skuad Kuala Lumpur mengiringi Kedah ke suku akhir apabila mudah menewaskan Pulau Pinang 4-2.

Ini adalah kali ketiga skuad warga kota mara ke saingan suku akhir dalam tempoh empat tahun dan ia juga merupakan kemenangan pertama ke atas Pulau Pinang di Stadium Bandaraya sejak tahun 1998.

Dalam perlawanan tersebut empat gol KL dijaringkan oleh Zaiful Hakim pada minit ketiga, Irfan Zakaria pada minit ke-13, Guilherme De Paula pada minit ke-35 dan pada minit ke-64 hasil sepakan penalti.

Sementara itu, tuan rumah hanya mampu meraih dua gol menerusi Ndumba Makeche pada minit ke-48 dan S. Sivanesan pada minit ke-79.

Dua jaringan tuan rumah itu bagaimanapun masih belum cukup untuk memastikan kemaraan mereka ke peringkat suku akhir sekaligus gagal menamatkan kemarau kejuaraan Piala FA yang kali terakhir dimenangi oleh mereka adalah pada tahun 2002.