Juara Piala FA 2016, Johor Darul Ta’zim (JDT) tekad pamerkan aksi terbaik walaupun hanya berdepan dengan sebuah pasukan Universiti iaitu UiTM FC pada pusingan ketiga Shopee Piala FA di Stadium UiTM, Shah Alam.
Pemain tengah JDT, Natxo Insa menyeru rakan sepasukannya agar tidak memandang mudah pada pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Premier itu kerana sedar lawan pasti akan bermain mati-matian untuk menewaskan pasukannya.
“Usah memandang rendah pasukan UiTM FC kerana mereka pastinya akan turun dengan barisan terkuat malah bukan sahaja UiTM FC tetapi juga pasukan lain apabila menentang JDT. Mereka pasti akan beraksi habis-habisan.
“Bagi persiapan menentang pasukan itu, kami perlu tumpukan aspek proses pemulihan selepas mengharungi jadual perlawanan yang padat. Ia penting untuk memastikan kami beraksi dengan konsisten,” katanya dalam satu kenyataan di laman facebook Johor Southern Tigers (JST).
Beliau juga mengakui perlawanan tersebut tetap sukar dan status pasukan itu tidak beri sebarang makna dalam sukan bola sepak.
“Saya tidak nafikan ia perlawanan yang sukar buat kami. Status pasukan tidak memberi sebarang makna kerana apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak.
“Jika kami meletakkan status sebagai ukuran, itu adalah masalah besar buat kami,” jelasnya.
Selepas menewaskan Tampines Rovers 2-1 dalam saingan Piala AFC pada hari Rabu, JDT mahu meneruskan momentum itu dengan memperagakan corak permainan menarik malam ini.
“Apa yang perlu kami lakukan adalah memperagakan taktikal ampuh dan perlu konsisten dalam perlawanan.
“Sekiranya gagal mempratikkannya, agak sukar meraih kemenangan lebih-lebih lagi ia adalah aksi kalah mati.
“Fokus kami adalah untuk menang tetapi kami juga perlu berjaga-jaga dengan taktikal lawan kerana mereka pasti mahu melakar kejutan ke atas JDT dan saya jangkakan mereka akan berikan tentangan sengit,” katanya.