Shin Tae-yong Kecam Gaya Permainan Van Hau, Turut Kongsi Video Hadangan Kerasnya Terhadap Azam Azmi

Shin Tae-yong Van Hau kecam Piala AFF 2022

Pengendali Indonesia, Shin Tae-yong menjadikan bek kiri Vietnam, Doan Van Hau sebagai sasaran kecamannya atas permainan keras pertahanan itu.

Ini disebutnya menjelang perlawanan separuh akhir kedua antara Indonesia dan Vietnam yang akan berlangsung pada malam nanti di Stadium My Dinh. Dalam aksi pertama sebelum ini, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Begitupun, Shin tidaklah sampai menyebutnya di sidang media. Kecaman tersebut dilakukan di media sosialnya selepas pertembungan tempohari.

Apa yang telah membuatkan pengendali tersebut sehingga menyerang Van Hau? Seperti yang kita tahu, permainan pemain tersebut memang keras. Malah, bukan sekadar keras, beliau juga pandai untuk ‘selamatkan dirinya’.

Sebaik sahaja melakukan terjahan, beliau juga akan berlakon tercedera.

Misalnya seperti dalam aksi bertemu Indonesia, Van Hau telah menerjah penyerang, Dendy Sulistyawan. Ia bukan terjahan biasa-biasa kerana beliau dilihat mengangkat kedua-dua kakinya ketika membuat terjahan tersebut.

Namun, pengadil langsung tidak menghukumnya yang dilihat sedang sakan berguling di atas padang memperlihatkan seperti beliau yang telah dikasari.

Pengadil kemudiannya cuma memberikan amaran lisan atas kekasaran kad merah itu dan jika dihitung, sudah beberapa kali beliau melakukannya.

Mungkin ini adalah perang yang dilancarkan Shin ke atas Vietnam, Park Hang-seo dan Van Hau sebelum aksi separuh akhir kedua antara mereka.

Park dilihat seakan-akan merestui apa sahaja tindakan Van Hau di dalam padang malah mempertahankan anak didiknya itu yang jelas bersalah.

Ujarnya di Instagramnya, beliau dipetik berkata, “Tidak wajar jika segala ‘usaha para pemain’ yang dibuat selama ini tenggelam kerana pengadil.

Pengadil dan pemain harus bermain secara adil bersama-sama dan saya berharap semoga tiada lagi kejadian seperti ini,” titip Shin lanjut lagi.

Shin dilihat berkongsi beberapa petikan video kekasaran yang telah dilakukan Van Hau dan yang menariknya ia termasuk video melibatkan bek kanan Harimau Malaya, Azam Azmi Murad dalam aksi peringkat kumpulan.

Dalam ketiga-tiga video itu, kita dapat mendengar ulasan dalam Bahasa Inggeris di mana pengulas bersetuju kesemuanya kesalahan kad merah.

Mungkin beliau memilih untuk tidak mengkritik keputusan pengadil dalam sidang media atas sebab yang sama seperti yang diungkap Kim Pan-gon.

Namun, kecamannya di media sosial itu dilihat lebih kepada luahan hatinya tentang mutu pengadilan disamping mengecam terjahan kasar Van Hau.

Pemain berusia 23 tahun itu sebelum ini sudah menerima kecaman yang amat dahsyat dari seluruh pengikut bola sepak Asia Tenggara termasuklah dari negaranya sendiri. Ini selepas apa yang dilakukannya ke atas Azam.

Selepas insiden kekasaran yang dilakukannya terhadap pemain-pemain Malaysia, malah menjadi punca kepada kad merah bek kanan Harimau Malaya, Azam Azmi Murad, Van Hau diasak bertubi-tubi, bukan sahaja dari Malaysia, malah Indonesia dan Thailand juga dilihat ‘tumpang sekaki’.

Malah ada yang sehingga melebihi batas apabila dikatakan menyerang media sosial teman wanita Van Hau. Dan beliau memberi respon.

“Ketika ini semua jadi pakar bola sepak,” titipnya di media sosialnya.

Menurut laporan media dari Vietnam, beliau dilihat sudah mengehadkan akses ke akaun media sosialnya dengan menutup ruangan komen.

Faham dengan situasi pemain muda itu, Park mungkin memberinya ruang untuk kembali fokus dengan ‘berehat’ ketika berdepan Singapura. Secara mentalnya, Van Hau mungkin belum cukup bersedia untuk bermain.

Bahkan, pengendali kelahiran Korea Selatan itu dilihat turut mengatakan yang Van Hau juga adalah mangsa kekasaran dalam perlawanan.

“Doan Van Hau adalah pemain terbaik saya dan antara yang terbaik di Asia Tenggara ketika ini. Bola sepak adalah sukan yang kompetitif dan banyak cabaran dan Van Hau boleh menangani banyak situasi buruk itu. Ketika menentang Indonesia, Van Hau banyak dirempuh pemain lawan. Namun dia berjaya mengelak sebarang perkara buruk,” katanya kepada pihak media.

Beliau juga mengatakan pemain itu semakin matang pada ketika ini.

Bagi pengendali itu, beliau bertanggapan yang terjahan dilakukannya selepas sudah hilang sabar atas semua kekasaran yang diterimanya.

Stadium My Dinh akan menjadi saksi pertembungan panas separuh akhir kedua di antara Indonesia dan Vietnam pada malam ini. Sedikit kelebihan yang dibawa Indonesia adalah mereka tidak bolos di Gelora Bung Karno.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN