Nampaknya suasana pertembungan Vietnam dan Indonesia menjadi semakin panas. Pengendali yang tenang, Shin Tae-yong pun tiba-tiba boleh naik angin di sidang media.
Namun, beliau bukanlah berang kepada pengendali Vietnam, Park Hang-seo yang diketahui penuh ‘tipu muslihat’ ataupun agensi media luar. Beliau tidak senang hati dengan petugas mereka sendiri yang dibawa khas bersama sebagai penterjemah.
“Kamu perlulah terjemah secukupnya supaya semua orang di sini tidak salah faham. Terjemahan kamu tak cukup sana dan sini. Saya tahu Bahasa Inggeris. Jadi, tolonglah terjemahkan betul-betul supaya ia tepat,” tegasnya selepas berakhir sidang media.
Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI) menghantar seorang penterjemah bersama mereka apabila Shin Tae-yong lebih gemar menggunakan bahasa Korea dalam sidang medianya, namun nampaknya individu tersebut gagal menjalankan tugasnya.
🇰🇷 Head To Head Shin Tae Yong – Park Hang Seo
Shin Tae Yong masih unggul telak dengan rekor pertemuan 8-1-1.
Besok mereka akan bertanding lagi setelah 9 taun tidak berjumpa di atas lapangan.#shintaeyong #parkhangseo#신태용#박항서#timnas#timnasday#timnasindonesia pic.twitter.com/fKSu8Lp4KL
— bolablangkon (@bolablangkon) June 6, 2021
Tindakan tidak bertanggungjawab penterjemah yang mereka bawa sendiri itu jelas telah menyebabkan pengendali yang sentiasa dilihat tenang itu naik berang dan telah diluahkan sejurus sidang media berakhir di depan semua agensi media yang hadir.
Dalam pada itu, Shin Tae-yong yang masih segar dengan kejayaan mengikat Thailand dengan keputusan 2-2 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 baru-baru ini tetap berpendapat yang Vietnam adalah calon pilihan untuk aksi ini.
“Sudah tentu saya mahu kalahkan Vietnam. Tetapi pada ketika ini, saya boleh katakan kami perlu berjuang dengan sehabis baik dan cuba mendapatkan keputusan yang lebih baik,” ujarnya yang pernah menentang Park Hang-seo di saingan K-League dahulu.
Melabelkannya sebagai ‘Pertembungan Dua Jurulatih Korea’, Shin Tae-yong juga tidak berminat dengan statistik silam antara mereka dan baginya media di Korea Selatan tentunya teruja untuk melihat pertembungan antara mereka pada awal pagi nanti.
🇰🇷 DERBY KOREA – DRAMA MATCH OF ASEAN
Vietnam 🇻🇳-🇮🇩 Indonesia
Park Hang Seo ⚔️ Shin Tae Yong pic.twitter.com/zr0iDfzbfE— ASEAN FOOTBALL (@theaseanball) June 6, 2021
Pertembungan antara mereka di liga sejak 2009 hingga 2012 menyaksikan Shin Tae-yong lebih cemerlang dengan lapan kemenangan berpihak kepadanya, satu seri dan hanya satu kemenangan kepada Park Hang-seo. Kini, mereka di gelanggang berbeza.
“Saya mengikuti perkembangan Park [Hang-seo] dan tahu tentangnya yang telah mengendalikan pasukan dengan baik. Malah, lebih baik daripada sebelumnya. Kejayaannya bersama Vietnam membantunya menjadi popular di Korea Selatan.
“Saya pernah mengendalikan pasukan Korea Selatan yang menewaskan Jerman di Piala Dunia 2018. Jadi, perlawanan esok [awal pagi nanti] sangat menarik untuk disaksikan. Statistik sudah menjadi sejarah silam [antara kami berdua],” jelasnya.
Shin Tae-yong berpendapat Vietnam sangat kuat dan tersusun permainannya. “Mereka sangat tersusun serta seimbang kekuatan antara antara bertahan dan menyerang,” jelasnya lagi mengenai pertembungan antara kedua-dua pasukan tersebut.
Vietnam sedang mendahului kumpulan dengan 11 mata, dua mata di depan UAE, Thailand dan Malaysia. Mereka memerlukan tujuh mata untuk memastikan mereka layak ke pusingan terakhir kelayakan Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah.
Baca lagi artikel lain mengenai Indonesia dan Vietnam:
Park Hang-seo Hanya ‘Berlatih’ Dengan Penjaga Gol, Wartawan Diminta Pulang
Shin Tae-Yong Tegas Kawal Pemakanan Pemain Skuad B-19 Indonesia
Pernah Tuduh Tan Cheng Hoe Intip Pasukan, Park Hang-seo Terus Paranoid Taktik Licik Sendiri