Shayne Pattynama Sertai Jordi Amat Jadi Pemain Warisan Terbaharu Untuk Indonesia

Perkembangan terbaharu mengenai bola sepak kebangsaan Indonesia sangat menarik, selepas mereka berjaya mendaftarkan pemain warisan baharu untuk terus memperkukuhkan skuad utama.

Terbaharu, Shayne Pattynama secara rasminya telah pun berjaya didaftarkan selaku salah seorang warganegara Indonesia selepas melalui beberapa proses sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Bola.com, pemain tersebut sudah pun mengesahkan diri selaku warganegara Indonesia, selepas beliau telah menjalani proses angkat sumpah hari semalam.

Proses tersebut juga disaksikan sendiri menerusi Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) iaitu Mochamad Iriawan bersama pegawai khas yang dihantar PSSI untuk menguruskan perkara tersebut, Hamdan Hamedan.

Untuk rekod, Shayne merupakan pemain bola sepak Indonesia yang ke-38 telah diberi status kewarganegaraan tersebut, dan dilihat sebagai suatu aset terbaik buat Sang Garuda bagi siri perlawanan antarabangsa selepas ini.

Apa yang diharapkan oleh Shin Tae-yong ketika ini pastinya kualiti serta pengalaman milik Shayne dapat digunakan dengan baik untuk memperkuatkan Indonesia.

Menerusi rekod Shayne sebelum itu, pemain tersebut kini mewakili Viking yang beraksi dalam saingan Eliteserien di Norway selaku pemain pertahanan.

Sebelum ini, Shayne juga berpengalaman untuk beraksi di Belanda bersama SC Telstar bagi saingan divisyen kedua negara tersebut selama beberapa musim.

Pada usia 24 tahun, pelbagai pengalaman telah diraih oleh Shayne di Eropah dan kehadiran beliau pastinya akan membantu pemain-pemain muda lain untuk tampil lebih baik selepas ini.

Sebelum itu, dua rakan beliau sudah pun mengesahkan diri selaku pemain warisan yang didaftarkan oleh PSSI iaitu Jordi Amat dan Sandy Walsh.

Namun, hanya Jordi sahaja setakat ini sudah pun mengesahkan aksi beliau bersama Indonesia dalam saingan Piala AFF 2022 sebelum itu.

Penampilan Jordi ketika itu jelas mendapat pujian ramai para penyokong Sang Garuda, ekoran kualiti permainan serta ketenangah beliau mengemudi pertahanan Indonesia jelas sangat positif.

Sandy pula terlepas peluang untuk mewakili Indonesia dalam saingan tersebut, selepas kelab diwakilinya iaitu KV Mechelen telah memanggil beliau pulang untuk membantu bagi saingan liga.

Sumber:
Bola.com

Leave a Reply