Pengurus Derby County, Frank Lampard memperkemaskan barisan kejurulatihan bagi membantunya dalam misi membawa kelab tersebut kembali ke Liga Perdana Inggeris setelah menyenaraikan Shay Given sebagai jurulatih penjaga gol.
Nama Given bukanlah asing dalam kancah bola sepak dunia dan England kerana beliau merupakan penjaga gol yang membuat penampilan terbanyak bersama skuad kebangsaan Republik Ireland.
Dalam saingan Liga Perdana Inggeris pula, bekas penjaga gol berusia 42 tahun ini pernah berbakti bersama Newcastle United, Manchester City dan Stoke City.
Mengulas mengenai pemilihan tersebut, Lampard ternyata gembira dengan kemasukan Given ke dalam barisan kejurulatihan pasukan.
”Saya mengenali Shay (Given) dan dia telah menikmati banyak tahun sebagai penjaga gol yang hebat. Persembahannya sangat mengagumkan dan sekarang dia telah memperoleh lesen jurulatih penjaga gol.”
”Saya sangat gembira untuk mempunyai Shay sebagai sebahagian daripada pasukan dan dia bukan hanya dibawa masuk sebagai jurulatih penjaga gol tetapi juga turut dapat memberikan impak positif yang berlainan kepada para pemain di bilik persalinan. .”
Shay Given merupakan anak kelahiran Lifford, County Donegal di Ireland dan telah menyertai Akademi Celtic di zaman remajanya dan ketangkasan beliau telah menarik minat Kenny Dalglish dibawa ke Blackburn Rovers pada tahun 1994.
Selain dari Jody Morris dan Given yang akan bersama beliau, Lampard turut membariskan dua muka baru dalam barisan kejurulatihannya apabila membawa masuk Chris Jones dan Stephen Rands.