Artis popular negara iaitu Sharnaaz Ahmad mencipta sejarah tersendiri apabila beliau sah memiliki kelab bola sepak di saingan liga sosial iaitu Carabat FC serta mendapat pelbagai maklum balas positif.
Nama Sharnaaz sebenarnya tidak asing lagi dalam dunia hiburan, ekoran kualiti lakonan beliau dalam drama serta filem tempatan sering mendapat pujian ramai.
Terkenal dengan gelaran Lan Todak dalam filem Juvana, anak jati Pulau Pinang ini tampil dengan sisi kelainan untuk menjadi pemilik kelab bola sepak amatur pada tahun 2024.
Laporan juga turut menyatakan Carabat FC bakal mencipta penampilan sulung mereka dalam saingan liga FAS di Selangor dalam masa terdekat.
“Sebagai pemilik Carabat FC, kelab ini masih baru dalam komuniti bola sepak, dengan visi yang bercita-cita tinggi untuk memberikan impak yang signifikan dalam arena bola sepak Malaysia.
“Penubuhan kelab ini didorong oleh minat terhadap sukan dan keinginan untuk menyediakan platform buat pemain berbakat menunjukkan kebolehan mereka.
“Kami percaya gaya permainan pasukan ini direka untuk menghiburkan para peminat dan mencipta peluang meledak gol menerusi teknik ‘build ups’ yang sabar serta bijak.
“Kelab ini bertujuan untuk membangunkan identiti yang tersendiri berdasarkan komitmennya terhadap permainan bola sepak yang indah dan mencapai kejayaan melalui kerja berpasukan bersama kemahiran dimiliki.
“Dengan fokus pada prestasi kompetitif dan pembangunan pemain, Carabat FC bertekad untuk mendaki tangga bola sepak Malaysia.
“Saya berharap kami dapat mencapai lebih banyak kejayaan dalam masa terdekat dan membuat penampilan sulung kami di Liga Super FAS,” jelas Sharnaaz dalam satu kenyataan dikeluarkan kelab tersebut.
Kejayaan aktres ini untuk menjadi terlibat bersama kelab bola sepak turut mengingatkan kami kepada selebriti antarabangsa iaitu Ryan Reynolds yang juga merupakan pemilik pasukan Wrexham AFC di England.
Langkah bijak dilakukan Sharnaaz ini juga sebenarnya membuka peluang kepada artis-artis berkemampuan lain untuk turut selepas ini menceburkan diri dalam dunia hiburan bola sepak tempatan.
Kami mengharapkan supaya Sharnaaz mampu berjaya bersama Carabat FC dan terus mewarnai bola sepak tanah air kita untuk melahirkan lebih ramai bakat-bakat berkualiti.