Ketua pasukan Perak, Shahrul Saad mengakui aksi Unity Shield menentang Kedah, malam esok merupakan medan yang cukup penting buat skuad ‘Yob’ menjelang sepak mula Liga Super pada 29 Februari nanti.
Berbeza dengan Kedah yang terlebih awal mempersiapkan pasukan, Perak pula hanya mengambil masa sebulan lebih untuk menyediakan skuad lengkap yang dimahukan pengendali, Mehmed Durakovic.
”Alhamdulillah setakat ini persiapan pra-musim dan juga latihan yang kami hadapi selama hampir sebulan dengan kehadiran pemain import agak sedikit lewat tetapi mereka sangat serius dan senang untuk berinteraksi dengan kami semua.”
”Saya sangat berharap kami mampu untuk bekerjasama terutama pada perlawanan esok. [Unity Shield] Agak penting juga buat pasukan Perak sendiri sebagai persiapan untuk perlawanan pertama Liga Super menentang Terengganu.”
”Saya rasa tahun ini merupakan satu musim yang agak sukar untuk Perak kerana pasukan-pasukan lain semua telah bersedia, jadi aksi esok menentang Kedah adalah satu perlawanan yang baik untuk kita mengetahui kekuatan pasukan,” ujar Shahrul Saad lagi.
Bagi menghadapi musim 2020, Perak mengekalkan sebahagian besar pemain musim lalu dan hanya membawa masuk Hafiz Ramdan dari Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) serta tiga pemain import baharu iaitu Guilherme De Paula, Antony Golec dan Thierry Chantha Bin.
Kejohanan pra-musim Unity Shield merupakan kerjasama antara Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang menemukan kedua-dua pasukan sejak musim 2019.
Kedah muncul juara sulung ketika aksi berlangsung di Stadium Darul Aman pada 13 Januari 2019 selepas menang 2-0 hasil jaringan pada babak kedua dihasilkan oleh Fernando Rodriguez dan Syahrul Azwari Ibrahim.
Kredit foto: FA Kedah