Kapten Perak, Shahrul Saad mengakui dia memiliki misi peribadi selain mahu membantu Perak menamatkan penantian 15 tahun untuk menjulang Shopee Piala FA menjelang aksi final bertemu Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Sabtu ini.
Shahrul,26, berkata, dia memasang impian untuk memintas rekod peribadi kejayaan bekas pemain Perak, Syamsul yang juga merupakan abang kandung tonggak pertahanan Harimau Malaya itu.
Sepanjang karier Syamsul, dia telah berjaya merangkul empat trofi bermula dengan kejayaan memenangi Piala Malaysia 2000 disusuli Liga Perdana (2002 dan 2003) yang kini dikenali sebagai Liga Super dan Piala FA pada 2004.
Mengulas lanjut, Shahrul yang meraih trofi sulung iaitu Piala Malaysia ketika menewaskan Terengganu musim lalu, berazam untuk memintas pencapaian terbaik milik abangnya.
Sebagai rekod, kali terakhir Perak menjulang Piala FA ketika menewaskan Terengganu 3-0 pada tahun 2004.
“Saya selalu berkongsi cerita dengannya (Syamsul) dan dia antara pencetus semangat buat saya memberikan persembahan lebih baik.
“Selain misi membantu Perak, saya juga memasang impian untuk menyamai atau mengatasi rekod peribadi milik abang saya pada suatu hari nanti.
“Berkenaan final malam esok, saya percaya kami akan turun habis-habisan dan saya berharap kejayaan akan memihak kepada Perak nanti,” ujarnya.
Sekiranya berjaya menjulang trofi malam ini, Shahrul dapat mengulangi pencapaian abangnya yang mengetuai skuad Perak menjuarai Piala FA 2004 juga di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kredit foto: Perak TBG