Sehingga hari ini masih belum reda isu mengenai kegagalan Shahrul Nizam Ros Hasni melaporkan diri bersama skuad kebangsaan untuk aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan.
Pemain pertahanan Terengganu itu dikatakan tidak dapat dihubungi sehinggalah pasukan negara terbang ke Amman, Jordan tanpa sempat beliau melapor diri.
Maka timbul pebagai spekulasi dan khabar angin mengenai punca pemain tersebut tidak muncul termasuklah tuduhan ‘nakal’ yang melibatkan hal peribadi seperti dihalang oleh teman wanitanya yang tidak mahu beliau terbang ke Jordan.
Cerita-cerita rekaan seperti ini bukan sahaja bermain di mulut penyokong, tetapi portal-portal bola sepak juga bertindak mengeruhkan keadaan dan bukannya mendapatkan penjelasan dari mulut pemain ini sendiri.
Shahrul Nizam akhirnya diketahui turun ke laut sehingga tidak mengetahui berita mengenai namanya disenaraikan pada saat-saat akhir bagi menggantikan Dion Cools yang mengalami kecederaan.
Keluarga nelayan
Dalam kehidupan ini, setiap insan melalui cabaran dan dugaan yang berbeza untuk mencapai satu tahap yang dianggap amat membanggakan dalam apa jua bidang sekalipun.
Sebagai contoh, mereka yang lahir dan membesar dari keluarga marhaen sama sekali tidak dapat menikmati keistimewaan yang dinikmati oleh mereka yang lahir di atas ‘dulang emas’.
Melihat Shahrul Nizam mampu berdiri sama tinggi dengan pemain-pemain elit lain di atas padang, tahukah anda bagaimana kesusahan yang ditempuhi oleh beliau sejak kecil dan remaja untuk berada di tahap ini?
Tentunya anak tangga yang dipanjat itu tidak sama dengan anak-anak ‘golongan kayangan’ mereka yang menikmati 1001 kelebihan seperti persekitaran, pemakanan, pembelajaran dan sebagainya.
Penulis cukup terkesan dengan penjelasan yang diberikan oleh Shahrul Nizam bahawa ‘kehilangannya’ itu bukanlah bertujuan untuk berseronok, sebaliknya niatnya adalah bagi membantu keluarganya yang selama ini menjadikan aktiviti turun ke laut itu sebagai punca pendapatan.
#bolatime #kualalumpur "Sampai di kampung saya turun ke laut. Kami keluarga nelayan. Niat saya tak lain turun ke laut membantu keluarga tapi bila sampai ke darat, baru saya dapat tahu tentang perkara ini dan terkejut.https://t.co/CU2MS8yrsY
— Harian Metro (@hmetromy) October 3, 2021
Dari penjelasannya itu sepatutnya kita boleh menilai dengan sebaiknya personaliti sebanar pemain ini yang berjiwa besar dan tidak pernah sama sekali melupakan asal usulnya yang lahir dari keluarga nelayan.
Meskipun beliau kini sudah menikmati kariernya selaku pemain profesional bersama salah sebuah kelab ternama di Malaysia dengan pendapat yang tidak kurang lumayan, beliau masih tidak menolak untuk turun ke laut bagi membantu keluarga.
Berdepan hukuman FAM?
Sebelum ini terdapat laporan dari Astro Awani oleh seorang pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengatakan Shahrul Nizam berkemungkinan berdepan hukuman denda serta tidak akan dibenarkan menyertai semua aktiviti bola sepak untuk tempoh tertentu.
Ia merujuk kepada Artikel 1A membabitkan ketidakpatuhan, pemain boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau digantung automatik dalam semua aktiviti bola sepak peringkat kelab, daerah, persatuan bola sepak negeri (PBN), kebangsaan dan antarabangsa dari tarikh melapor diri hingga tamat pertandingan yang sepatutnya diwakili.
Malah, FAM boleh melanjutkan tempoh penggantungan terbabit jika perlu atau lain-lain tindakan yang difikirkan sesuai oleh jawatankuasa untuk tujuan terbabit dengan tindakan tatatertib di artikel itu boleh dikenakan secara berasingan atau digabungkan
Shahrul boleh digantung, denda RM25,000 https://t.co/lck6demT7f
— #TeamMALAYSIA (@AtletMalaysia) October 5, 2021
Bagaimanapun Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar dalam temubualnya bersama Berita Harian menjelaskan pihaknya tidak akan menghukum terus pemain terbabit dan akan memberi peluang kepada Shahrul Nizam untuk ‘membela diri’.
“Kita akan tunggu laporan penuh dahulu dan selepas itu baru kita putuskan sama ada untuk panggil pemain itu (memberi keterangan) ataupun tidak,” ulas Saifuddin.
“(Tindakan) tidak boleh putuskan lagi buat masa ini. Selepas kita dapat laporan barulah kita akan ambil langkah yang seterusnya.”
Sokongan jurulatih dan pasukan
Shahrul Nizam mengakui beliau kecewa apabila dilabel tidak menghormati panggilan skuad kebangsaan dan ditohmah dengan pelbagai tuduhan sehingga menjejaskan moralnya.
Selepas mengetahui beliau telah ditinggalkan oleh skuad kebangsaan, Shahrul Nizam tidak menunggu lama untuk membuat permohonan maaf meskipun kejadian yang menimpa itu bukanlah disengajakan.
“Jujur cakap semua pemain teringin menyarung jersi kebangsaan. Ia seperti impian menjadi kenyataan. Kalau saya tahu tidak mungkin saya lepaskan peluang ini,” ujarnya dalam satu temubual bersama Harian Metro.
Malah ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain dalam temubualnya bersama Nadi Arena mengakui turut terkesan dengan layanan dan tohmahan peminat bola sepak terhadap anak buahnya itu.
"Keadaannya tidak seperti sebelum ini. Mungkin terlalu banyak fikir tentang kata-kata penyokong atau hukuman yang akan dihadapi."#AWANInews #AWANIpagihttps://t.co/u21j1z1r94
— Astro AWANI (@501Awani) October 8, 2021
“Daripada raut wajahnya, saya boleh nampak keadaannya tidak seperti sebelum ini. Mungkin dia terlalu banyak berfikir tentang kata-kata daripada penyokong atau tentang hukuman yang akan dihadapinya,” ujar Nafuzi.
“Saya kini mencuba untuk banyak bercakap dengannya, memberikan nasihat dan semangat. Perkara ini berlaku agar dapat dijadikan pengajaran buat dirinya sendiri. Saya rasa mungkin masih ada banyak ruang untuk diperbaikinya bagi masa depannya.”
Penutup
Shahrul Nizam dengan rendah hati amat berharap kejadian yang berlaku ini tidak akan menjejaskan peluangnya untuk bersama skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.
Peminat dan media bola sepak di Malaysia juga seharusnya bersikap adil terhadap pemain muda kelahiran Kelantan ini.
Shahrul Nizam merupakan seorang ikon bola sepak dari keluarga marhaen yang sepatutnya menjadi kebanggaan kita semua.