Selepas kelibatnya tidak kelihatan setelah hampir separuh Liga Malaysia musim ini berlangsung, Shahril Sa’ari mungkin bakal kembali beraksi untuk salah sebuah kelab di negara ini.
Spekulasi tersebut timbul setelah bekas penjaga gol Kedah tersebut memuat naik ‘story’ di akaun Instagram miliknya yang memberi isyarat bahawa beliau mahu kembali ke kancah bola sepak profesional.
Ketika dihubungi oleh wakil Semuanya BOLA, Shahril Sa’ari enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai perkara tersebut.
“Setakat ini saya belum tandatangan kontrak dengan mana-mana pasukan lagi. Tapi jika ada berita baik, saya akan maklumkan InsyaAllah,” jawabnya ringkas.
Bagaimanapun di media sosial ketika ini terdapat khabar angin yang mendakwa penjaga gol berusia 33 tahun ini bakal menyertai sebuah kelab di Pantai Timur.
Merupakan produk Sekolah Sukan Bukit Jalil, Shahril terlebih dahulu menabur bakti bersama pasukan di negeri kelahirannya Terengganu sebelum mencipta nama ketika beraksi untuk skuad Harimau Muda.
Beliau kemudian sempat menabur bakti bersama Sabah, Sarawak, PKNS, PDRM dan kali terakhir adalah bersama Kedah pada musim lalu.
Shahril merupakan salah seorang Exco Persatuan Pemain-Pemain Profesional Malaysia (PFAM) dan kini giat membantu badan tersebut memberi pendidikan tentang hak pemain kepada rakan-rakan pemain yang masih aktif beraksi bersama kelab-kelab Liga Super ketika ini.
Beliau juga baru sahaja menamatkan Kursus Lesen Kejurulatihan Bola Sepak FAM/AFC ‘C’ yang berlangsung di Bangi baru-baru ini.