MSL 2020: Shahrel Fikri, Leandro Hadiahkan Kemenangan Keempat Buat Perak

Perak

Perak mencatatkan kemenangan keempat dalam saingan CIMB Liga Super Malaysia 2020 apabila berjaya menundukkan PDRM 2-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Aksi tersebut terpaksa ditangguhkan kira-kira satu jam 30 minit apabila hujan lebat yang membasahi bandar Cheras mengakibatkan keadaan padang tidak sesuai untuk memulakan perlawanan.

Perak yang masih segar dengan kemenangan pada perlawanan menentang UiTM FC pada mingu lalu mempamerkan corak permainan bertenaga di awal permainan apabila berupaya mengancam kubu tuan rumah seawal minit pertama.

Peluang itu menjelma menerusi sepakan percuma yang diambil Rafiuddin Roddin terus ke dalam kawasan penalti PDRM tetapi penjaga gol, Mohamad Farzly Muhammad hadir tepat pada masanya untuk menyelamatkan keadaan.

Berselang 10 minit kemudian, pemain nakal, Leandro Dos Santos pula mengasak kubu skuad bimbingan Mohamad Ishak Kunju Mohamad tersebut hasil rembatan dari luar kawasan penalti tetapi berjaya ditangkap kemas Farzly.

PDRM kemudiannya kembali memperkemaskan aksi dan hampir mengecewakan Perak pada minit ke-30 setelah rembatan rendah Ahmad Nizam Mohd Rodzi terkena tiang gol ketika Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy sudah pun tertewas.

Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi terus membuktikan penyudah berbisa dimilikinya apabila beliau berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-55 yang merupakan gol kelima peribadi buatnya.

Berpunca daripada kombinasinya bersama Guilherme De Paula, Shahrel meledakkan rembatan padu dari luar kawasan penalti sekaligus tidak mampu dihalang Farzly.

Ketika aksi sebenar hanya berbaki tiga minit untuk ditamatkan, Leandro memadamkan terus api perjuangan buat skuad PDRM.

Beliau yang meluru pantas ke hadapan ketika menanti sepakan sudut dari Rafiuddin Roddin jelas tidak melepaskan peluang terhidang bagi menanduk masuk bola untuk gol kedua perlawanan.

Kemenangan 2-0 itu menyaksikan Perak kini menghuni tangga kedua liga selepas mengharungi lapan perlawanan. Ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu liga yang merupakan juara enam musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim.

Kedudukan kedua itu bakal berubah sekiranya pasukan di tangga ketiga, Kedah berjaya menundukkan Sabah pada aksi yang akan berlangsung malam esok.

Kredit featured image: Malaysian Football League

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN