Pemilihan Kiko Insa dan Shahrel Fikri dalam skuad kebangsaan menjelang tiga aksi persahabatan pada bulan Ogos ini dan juga satu aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Hong Kong, September nanti pasti menjadi bualan para peminat dan pemerhati bolasepak tempatan ketika ini.
Reaksi berbeza dapat dilihat berkenaan kedua-dua pemain ini disaat senarai nama 24 pemain diumumkan di laman sesawang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Nelo Vingada pastinya ada alasan tersendiri mengenai status pemilihan kedua-dua pemain ini.
Pemain tengah, Kiko Insa lebih terkenal dengan karakter dan aksi keras di dalam padang. Risiko untuk pasukan yang memiliki pemain seperti ini adalah pasukan itu berpotensi kehilangan seorang pemain jika dirinya dilayangkan kad merah.
Umum masih mengingati insiden beliau telah dilayangkan kad merah ketika final Piala FA 2017 seawal minit ke-32 dan mengakibatkan Pahang berhempas pulas sebelum tewas tipis 2-3 kepada Kedah.
Selain itu, pemain berusia 29 tahun itu juga tampak kian tersisih daripada senarai pemain utama skuad Pahang ketika ini. Perkara ini ternyata menimbulkan 1001 persoalan di minda setiap dari peminat bola sepak negara.
Vingada mungkin inginkan seorang pemain yang keras di tengah padang untuk mengekang asakan lawan, namun berbaloikah percaturan ini?
Ayuh kita singkap kembali impak dari Shukor Adan disaat ramai mempersoalkan pemilihannya ke dalam skuad kebangsaan untuk aksi Piala AFF 2014.
Karakter dan aksi keras Shukor Adan di dalam padang sangat diperlukan oleh skuad kebangsaan ketika itu. Dan, nyata beliau berjaya membawa skuad kebangsaan ke pentas final Piala AFF sebelum dikecewakan Thailand dengan agregat 3-4.
Namun, yang membezakan Shukor Adan dan Kiko Insa adalah Shukor sangat dihormati oleh para pemain.
Sementara itu, penyerang muda PKNP FC, Shahrel Fikri pula mendapat reaksi positif terhadap pemilihannya dalam skuad kebangsaan. Beliau merupakan calon popular yang meniti di bibir para peminat dan pemerhati bolasepak tempatan sejak akhir-akhir ini atas aksi prolifiknya musim ini.
Sepuluh gol atau 1/3 daripada jumlah gol PKNP FC dalam aksi Liga Premier dihasilkan oleh beliau dan dengan usianya yang baru mencecah 23 tahun, ini boleh dianggap sebagai percaturan yang baik.
Pernah melalui zaman gelap apabila terpaksa diketepikan dari skuad Harimau Muda B kerana dikesan menghadapi masalah jantung pada tahun 2014, Shahrel Fikri bangkit sekaligus membuktikan masalah kesihatan tidak pernah membantutkan impiannya untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi.
Beliau mempunyai sentuhan jaringan yang amat diperlukan oleh skuad kebangsaan yang kian ketandusan peledak berkualiti. Namun, mampukah beliau menterjemahkannya ketika bersama skuad kebangsaan?
Melihatkan senarai penyerang yang disenaraikan oleh Vingada, peluang Shahrel Fikri nampak cerah untuk membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan.
Hanya penyerang JDT, Hazwan Bakri yang boleh dianggap pencabar terdekatnya, namun jelas Shahrel hadir dengan reputasi tersendiri ke dalam kem skuad kebangsaan dan dengan beberapa aksi persahabatan yang telah diatur, pasti ada ruang bagi beliau untuk memikat hati pengendali dan seluruh peminat serta pemerhati bolasepak tempatan.
Kesimpulan
Apa juga yang diperkatakan dan dicoretkan peminat serta pemerhati bola sepak, besar harapan untuk melihat kedua-dua pemain ini termasuk semua yang terpilih mempamerkan kualiti yang memberangsangkan bersama skuad kebangsaan.
Kepakaran Nelo Vingada yang dibantu Tan Cheng Hoe diharapkan dapat menyediakan satu pasukan yang lebih bersedia bagi menghadapi saingan antarabangsa selepas ini.