Shah Alam Antlers 3-0 Level Up: Klang Valley Super League (Matchday 13)

Shah Alam Antlers semakin hampir untuk menjuarai Klang Valley Super League musim 2016/2017 selepas menewaskan pasukan di tangga ke-3 liga, Level Up 3-0 di Antlersland petang semalam.

Perlawanan berlangsung sengit pada separuh masa pertama.

Tetapi gol Mohamad Naim (48′), Mohamad Raffi (penalti, 55′) dan Muhammad Imran pada hujung-hujung minit perlawanan memastikan Antlers kini hanya perlu meraih 2 mata daripada baki 2 perlawanan; tanpa mengira keputusan yang diraih oleh pencabar terdekat Terrapins FC.

Turun dengan formasi 4-3-3, Antlers rata-ratanya mempertaruhkan kesebelasan utama kecuali tanpa kehadiran Firdaus Selvam. Tempat beliau digantikan oleh Gopal.

Ridhwan Johari yang cemerlang mengepalai jentera serangan Antlers terus diberi kepercayaan sebagai penyerang tunggal. Sementara itu, Adam Shahidan yang baru pulang dari umrah kembali berpasangan dengan Mohamad Naim dan Amares Singh di tengah.

Separuh masa pertama yang sengit

Tidak banyak yang boleh dilaporkan pada separuh masa pertama. Dengan perlawanan banyak terhenti kerana kecederaan dan kesalahan pemain, kedua-dua pasukan gagal mendapat rentak untuk mengatur serangan.

Level Up jelas menunjukkan mereka tidak datang ke Antlersland untuk memberi petang yang mudah bagi Shah Alam Antlers. Jentera tengah dan pertahanan mereka pantas mematikan serangan Antlers melalui kelebihan fizikal mereka.

Cuma malangnya, jentera serangan mereka gagal memanfaatkan beberapa peluang yang mereka ada.

Antlers bangkit

Barangkali baru bangun tidur selepas mendapat kata-kata motivasi daripada G. Muthu semasa rehat separuh masa pertama, Shah Alam Antlers tampil lebih kemas pada separuh masa kedua.

Kali ini, Antlers tampak lebih tersusun di sebalik permainan fizikal Level Up. Aiman Sirajuddin dan Nicholas Chan beberapa kali menguji pertahanan Level Up melalui larian overlapping mereka dari kanan dan kiri. Percaturan G. Muthu yang mengeluarkan Ahmad Shahidan dan memasukkan Kumaran nyata mengubah perlawanan.

Kemasukan Kumaran bermakna Raffi dipindahkan ke tengah. Kelebihan Raffi yang boleh menggelecek dari tengah membolehkan Antlers melepasi tekanan Level Up dan mengatur serangan dengan lebih efektif.

Hasilnya Naim berjaya meraih gol pertama Antlers hasil larian dan hantaran lintang cemerlang Aiman di sebelah kanan.

Shah Alam Antlers 1-0 Level Up

Level Up meletup

Separuh masa ketiga adalah antonim kepada separuh masa pertama yang membosankan. Ia berlangsung dengan penuh insiden panas sehinggakan kedua-dua jurulatih Shah Alam Antlers dan Level Up diarahkan pengadil untuk meninggalkan kawasan teknikal padang.

Tertekan dengan ketinggalan 1 gol, Level Up cuba menggandakan asakan. Terutamanya melalui pemain import mereka yang dipindahkan dari sayap kanan ke tengah. Tetapi kubu Antlers tenang mematahkan satu demi satu asakan mereka.

Baru 5 minit separuh masa ketiga berlangsung, Antlers mendapat gol ke-2. Ia juga berpunca dari larian overlapping dan hantaran lintang Aiman di sebelah kanan. Kumaran berjaya menyambut hantaran lintang Aiman dengan kepalanya di bahagian far post.

Tetapi tandukannya terkena tangan pertahanan Level Up. Pengadil tak teragak-agak untuk memberikan sepakan penalti kepada Antlers yang kemudiannya disempurnakan oleh Raffi.

Tersentak dengan ketinggalan 2 gol, pasukan pelawat cuba bangkit. Tetapi usaha mereka terbantut sekali lagi apabila seorang pemain tengahnya dibuang padang oleh pengadil. Tindakan pengadil itu mengundang kemarahan majoriti pemain Level Up.

Melihat Level Up yang meletup dari dalam, Antlers menukul paku terakhir di keranda Level Up apabila Imran memanfaatkan kesilapan pertahanan tengah mereka untuk menjaringkan gol ke-3.

Rumusan

Dengan kemenangan 3-0 ini, Shah Alam Antlers kini layak secara rasmi ke kejohanan Selangor Champions League yang bakal diadakan selepas Hari Raya nanti.

Bagaimanapun mereka perlu bekerja keras lagi dalam baki 2 perlawanan (menentang Sunway University dan Terrapins) untuk sah bergelar juara liga.

Pemain terbaik perlawanan: Aiman Sirajuddin

Statistik perlawanan

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN