Shah Alam Antlers sah bergelar juara baru Klang Valley Super League musim 2016/2017 selepas membenam cabaran Team Sunway 1-0 dalam perlawanan sengit di Antlersland malam semalam.
Shah Alam Antlers yang memerlukan sekurang-kurangnya 2 mata daripada baki 2 perlawanan liga (menentang Team Sunway dan Terrapins) menyudahkan kerja tersebut lebih awal malam semalam selepas pemain tengah Shah Alam Antlers, Ahmad Shahidan menyudahkan percubaan jarak dekat pada minit 50′.
Gol tersebut sekaligus memadam sisa-sisa harapan Terrapins untuk mempertahankan kejuaraan liga mereka pada musim lepas.
Antlers tiada idea
Menentang Team Sunway yang terdiri rata-ratanya terdiri daripada pemain-pemain muda yang bertekad merosakkan parti yang dirancang penyokong Shah Alam Antlers sekiranya pasukan mereka menang, pemain-pemain Antlers pada mulanya menghadapi masalah menembusi pertahanan Sunway.
Dengan 8-9 pemain mereka sentiasa berada di belakang bola dan berorganisasi, jentera penyerang Antlers yang diketuai oleh Ridhwan Johari (gambar bawah), Kumaran dan Yakish Rao bergelut untuk mencipta peluang gol.
Sunway pula sentiasa nampak berbahaya apabila berjaya merampas bola dan melancarkan serangan balas.
Peluang pertama Antlers untuk menjaringkan gol hadir apabila Ahmad Shahidan melepasi kawalan pemain Team Sunway untuk berdepan dalam situasi 1v1 dengan penjaga gol mereka. Ketika gol nampak seperti hampir pasti masuk, penjaga gol Sunway melakukan aksi penyelamat yang ajaib untuk menafikan Shahidan.
Selepas itu, Sunway jauh lebih berhati-hati. Antlers pula terus buntu.
Antlers tingkatkan tempo
Masuk separuh masa kedua, Shah Alam Antlers masih lagi buntu memecah kubu Team Sunway.
Barangkali dalam usaha untuk mengelirukan Sunway, G. Muthu mengeluarkan Ridhwan Johari dan Ahmad Shahidan – kedua-duanya pemain kesebelasan utama – dan memasukkan Jason Lim dan Fitry Johari.
Kumaran dipindahkan ke posisi penyerang utama. Nicholas Chan dipindahkan dari bek kiri ke kanan. Fitry mengisi slot bek kiri.
Perubahan ini ada impak baik dan buruknya. Dari sudut positif, kehadiran Fitry (gambar bawah) sebagai bek kiri banyak membantu sayap kiri Antlers nampak lebih menyengat.
Tetapi negatifnya, Jason bergelut untuk bermain dengan baik di tengah. 2 kali insiden beliau melepaskan penguasaan bola dengan mudah di tengah betul-betul merisaukan penyokong dan Muthu.
Bimbang jentera tengah beliau akan hilang bola lagi, Muthu memasukkan Shahidan dan mengeluarkan Jason semula.
Hasilnya Antlers berjaya menyerang Sunway dengan lebih baik. Pada minit-minit terakhir separuh masa kedua, serangan sayap kiri Antlers menghasilkan situasi kelam kabut di kubu Sunway.
Peningkatan tempo serangan ini berjaya menghadiahkan gol apabila Shahidan menyambut hantaran lintang Kumaran dari kiri sebelum meledakkan misil rembatan kencang jarak dekat yang tak mampu diselamatkan oleh penjaga gol dan pertahanan Sunway yang cemerlang.
Tutup kedai
Pada separuh masa ketiga, Muthu yang menjangkakan Sunway akan mula menyerang bertindak mengubah formasi Antlers kepada 3-4-2-1. Ia merupakan strategi taktikal yang bijak.
Dengan Sunway yang mula berminat untuk menyerang, formasi baru Antlers ini nyata menyukarkan serangan Sunway. Dan dalam pada masa yang sama, ia memudahkan Antlers mengatur serangan balas.
Kredit harus diberi kepada Kumaran yang bermain berseorangan di tengah. Beliau menggalas tugas link-up play dengan jentera tengah Antlers dengan cemerlang sekali.
Ahmad Shahidan sekali lagi paling hampir menambah gol ke-2 Antlers pada minit ke-68. Tetapi percubaannya tersasar melewati tiang gol.
Tamat perlawanan, penyokong-penyokong Shah Alam Antlers terus meraikan kejayaan pasukan mereka dengan nyanyian dan sorakan juara.
Pemain terbaik perlawanan: Ahmad Shahidan
Statistik perlawanan