Perlawanan Piala FA malam tadi antara Kedah Darul Aman (Kedah) dan Penang merupakan satu perlawanan yang begitu sengit menyaksikan pelawat menunjukkan jalan keluar kepada tuan rumah.
Namun paling mencuri tumpuan adalah penjaga gol Penang, Shafiq Afifi yang beraksi begitu cemerlang sepanjang 120 minit permainan termasuk dalam penentuan sepakan penalti apabila berjaya menggagalkan dua sepakan penalti Kedah.
Biarpun skuad kendalian Nafuzi Zain menguasai perlawanan dengan serangan bertali arus terutamanya pada masa tambahan namun mereka masih tidak mampu untuk menewaskan penjaga gol muda tersebut.
Ketika aksi penentuan sepakan penalti, boleh dilihat Shafiq seperti sudah dapat membaca arah tendangan hampir kesemua pemain Kedah.
Rupanya ada rahsia besar iaitu Penang sudah mengetahui lebih awal dan memberikan maklumat tersebut kepada penjaga gol mereka.
Jelas kelihatan beberapa nama pemain Kedah sudah tercatit dan mengetahui arah mana bola itu akan ditujukan.
Sebagai contoh, Lee Tuck akan menyepak ke arah kiri bawah Shafiq dan Manuel Hidalgo ke kanan bawah.
Boleh dikatakan hampir kesemua nama pemain Kedah yang ambil sepakan penalti itu sudah diketahui lebih awal oleh penjaga gol berusia 23 tahun ini termasuk pilihan sepakan mereka ke arah mana.
Maklumat seperti ini begitu berguna kepada penjaga di saat mereka menghadapi situasi getir dan ternyata ia membuahkan hasil yang lumayan.
Bekas penjaga Malaysia bawah 19 tahun ini membuktikan dirinya sememangnya layak beraksi selaku penjaga utama biarpun usianya masih muda.
Biarpun menerima sedikit kritikan ketika aksi liga yang kurang baik namum aksi cemerlang malam tadi sudah pasti dapat menaikan kembali moral dirinya untuk perlawanan seterusnya.