Mengapa L’imam Seydi Tak Boleh Didaftarkan Sebagai Pemain Kelantan Sedangkan Bako Boleh?

Memandangkan tak banyak peminat bola sepak tempatan yang membaca (secara teliti) siaran media yang dikeluarkan oleh Football Malaysia LLP (FMLLP) berkenaan isu pemotongan mata dan larangan pendaftaran pemain baru, kami sediakan artikel ini untuk menjawab semua kekeliruan.

Apa yang anda perlu tahu

1. Setiap pasukan yang ingin menyertai Liga Malaysia (Liga Super dan Liga Premier) musim 2017 perlu mengesahkan penyertaan mereka pada atau sebelum 31 Disember 2016.

2. Bagaimana untuk mengesahkan penyertaan? Setiap pasukan harus memuatnaik 4 dokumen berikut ke Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak (SPMB):
– Surat Selesai Bayaran/Tunggakan Gaji
– Surat Selesai Bayaran/Tunggakan KWSP
– Surat Selesai Bayaran/Tunggakan Perkeso
– Surat Selesai Bayaran/Tunggakan LHDN

3. Semua surat ini adalah untuk memastikan setiap pasukan menyelesaikan bayaran/tunggakan gaji, KWSP, Perkeso dan LHDN pada musim-musim SEBELUM 2017.

Ini bermakna pasukan yang gagal menyelesaikan bayaran/tunggakan pada musim 2017 (seperti kes Selangor FA, Kuantan FA dan Sabah FA) hanya akan dihukum pada musim 2018 akan datang (jika kes masih berlarutan).

4. Terdapat 4 pasukan yang gagal menyelesaikan bayaran/tunggakan gaji, KWSP, Perkeso dan LHDN pada musim-musim SEBELUM 2017. Mereka adalah Kelantan FA, T-Team FC, ATM FA dan Perlis FA.

5. 4 pasukan ini telah diberi peringatan banyak kali iaitu pada:
– 27 Januari 2017 (melalui surat & telefon)
– 7 Mac 2017 (melalui surat & telefon)

Peringatan FMLLP kepada 4 pasukan ini ringkas sahaja: selesaikan bayaran/tunggakan dan muat naik dokumen-dokumen berkaitan ke SPMB sebelum 31 Mac 2017 jika tidak mahu didenda.

6. 4 pasukan tersebut gagal berbuat demikian sebelum 31 Mac 2017. Akibatnya mereka dihukum potong 6 mata.

7. Hukuman tak terhenti setakat itu. FMLLP memberitahu jika 4 pasukan ini masih gagal menyelesaikan bayaran/tunggakan dan memuatnaik dokumen-dokumen berkaitan ke SPMB sebelum 15 Mei 2017, hukuman larangan pendaftaran pemain baharu pada jendela perpindahan pemain Mei-Jun 2017 pula akan dikenakan.

8. 4 pasukan ini gagal berbuat demikian sebelum 15 Mei 2017 (sekali lagi). Ini menyebabkan T-Team, Perlis, ATM dan Kelantan dihukum pemotongan 6 mata DAN larangan pendaftaran pemain baharu pada jendela perpindahan pemain Mei-Jun 2017.

9. Bagaimanapun T-Team, Perlis dan ATM berjaya juga (walaupun lewat) mengemukakan dokumen yang tertangguh beserta rayuan mereka kepada FMLLP.

10. Sementara itu Kelantan hanya menghantar surat rayuan bertarikh 29 Mei 2017 supaya FMLLP meringankan hukuman pemotongan 6 mata sahaja.

Tiada langsung rayuan supaya KAFA dibenarkan mendaftar pemain asing baru atau untuk diberikan masa supaya KAFA boleh menyelesaikan tunggakan-tunggakan gaji, KWSP, Perkeso dan LHDN.

11. Setelah meneliti rayuan T-Team, Perlis dan ATM, FMLLP membatalkan larangan pendaftaran pemain baharu dan mengurangkan hukuman pemotongan 6 mata kepada 3 mata kepada T-Team dan Perlis. Rayuan ATM masih dalam siasatan lanjut.

Rayuan Kelantan pula ditolak kerana mereka tiada pelan langsung untuk menyelesaikan tunggakan-tunggakan gaji, KWSP, Perkeso dan LHDN. Walaupun secara ansuran.

12. Pada 5 Jun 2017 (selepas ditegur FMLLP di media sosial pada 1 Jun 2017), barulah Kelantan melalui KAFA turun berjumpa dengan FMLLP untuk berbincang mengenai pelan pembayaran tunggakan gaji, KWSP, Perkeso dan LHDN.

Sumber: Football Malaysia LLP

13. Hasil pertemuan ini, KAFA menghantar surat rayuan ke-2 kepada FMLLP pada 8 Jun 2017. Dalam surat tersebut mereka merayu supaya:

  1. hukuman pemotongan mata diringankan
  2. dibenarkan mendaftar pemain asing baru
  3. diberikan masa supaya boleh menyelesaikan tunggakan-tunggakan gaji, KWSP, Perkeso dan LHDN

14. Selepas meneliti rayuan ke-2 KAFA, FMLLP membuat keputusan berikut:

  1. hukuman pemotongan mata diringankan daripada 6 mata kepada 3 mata
  2. larangan pendaftaran pemain baharu Kelantan tetap akan berkuatkuasa kerana KAFA masih gagal memuatnaik dokumen-dokumen berkaitan ke SPMB
  3. memberi masa sehingga 31 Oktober 2017 kepada KAFA untuk memuatnaik dokumen-dokumen berkaitan ke SPMB. Jika gagal, Kelantan akan diturunkan ke Liga Premier

Nanti dulu. Jika larangan pendaftaran pemain baharu Kelantan tetap berkuatkuasa, mengapa pendaftaran Abu Bakr Al-Mel dibenarkan?

Pendaftaran Abu Bakr Al-Mel (Bako) dibenarkan atas budi bicara FMLLP kerana yuran perpindahan Mohammad Ghaddar yang sangat besar (Utusan Malaysia melaporkan yuran perpindahan sebanyak RM1.2 juta).

Sumber: TRW

Yuran perpindahan yang mahal ini membolehkan Kelantan ada peluang untuk melangsaikan tunggakan gaji, KWSP, Perkeso dan LHDN dan seterusnya memuatnaik dokumen-dokumen berkenaan ke SPMB sebelum 31 Oktober 2017.

Kejayaan memuatnaik dokumen-dokumen berkenaan ke SPMB sebelum 31 Oktober 2017 bererti Kelantan tidak akan diturunkan ke Liga Premier.

FMLLP boleh saja berkeras tidak membenarkan pendaftaran Bako. Dengan tidak membenarkan pendaftaran Bako, Kelantan juga boleh mengekalkan Ghaddar.

Tetapi apa pula pelan Kelantan untuk melangsaikan tunggakan gaji, KWSP, Perkeso dan LHDN dan seterusnya memuatnaik dokumen-dokumen berkenaan ke SPMB sebelum 31 Oktober 2017?

Bayangkan jika Kelantan gagal berbuat demikian sebelum 31 Oktober 2017.

Mereka bukan sahaja akan gagal melangsaikan hutang lama, malah akan diturunkan pula ke Liga Premier (tanpa mengira betapa bagusnya mereka bermain dalam Liga Super bersama Ghaddar). Apabila turun ke Liga Premier, mampukah Kelantan mengekalkan Ghaddar?

Jika Abu Bakr Al-Mel boleh didaftarkan, mengapa L’imam Seydi tak boleh?

Sekali lagi kita perlu ingat, asalnya Bako tak boleh didaftarkan pun kerana Kelantan dilarang membuat pendaftaran pemain baharu.

Tetapi FMLLP membenarkan juga pendaftaran Bako kerana yuran perpindahan yang diterima Kelantan untuk Ghaddar sangat besar dan mampu membantu Kelantan kekal dalam Liga Super.

Dalam kes L’imam Seydi (gambar bawah) pula, FMLLP tak nampak bagaimana dengan menamatkan kontrak (mutual termination) Alessandro Celin boleh memberi impak positif kepada kewangan Kelantan.

Oleh itu, larangan pendaftaran pemain baharu Kelantan masih berkuatkuasa. Kelantan dilarang daripada mendaftar L’imam Seydi.

Tapi Tan Sri Annuar Musa kata L’imam Seydi dibawa masuk tanpa kos tambahan. Mengapa FMLLP masih menghalang?

Untuk menjawab soalan ini, kita perlu faham peraturan asas kontrak pemain seperti yang terkandung dalam dokumen FIFA Regulations on the Status and Transfers of Players.

Dalam artikel 18, provisi ke-2, FIFA memberitahu:

“Tempoh minimum kontrak adalah daripada bermulanya tarikh efektif hinggalah tamat musim…”

Memandangkan Alessandro Celin ditandatangani pada Januari 2017 (awal musim 2017), kontraknya berakhir pada hujung musim 2017 iaitu 31 Oktober 2017.

Ini bermakna untuk membawa masuk L’imam Seydi, Kelantan perlu menamatkan kontrak Celin secara pra-matang dan membayar pampasan kontrak kepada Celin.

Oleh itu dakwaan Kelantan bahawa penamatan kontrak Celin dan pendaftaran masuk Seydi membawa penjimatan sebenarnya tidak betul. Malah dengan menamatkan kontrak Celin, Kelantan sebenarnya perlu membayar pampasan kontrak lagi.

Tapi saya baca di group Whatsapp bola, bahawa kontrak Celin sebenarnya berstruktur 6+6

Dakwaan ini juga tidak betul kerana seperti ketetapan FIFA dalam artikel 18, provisi ke-2, Kelantan tidak dibenarkan menandatangani Celin selama 6 bulan sahaja. Disebabkan kontrak Celin bermula pada Januari 2017, kontrak beliau akan tamat pada akhir musim – iaitu 31 Oktober 2017.

Jika kontrak Celin ditamatkan sebelum tarikh 31 Oktober 2017, Kelantan WAJIB membayar pampasan kontrak dengan persetujuan Celin sendiri.

KAFA telah menghantar surat rayuan pendaftaran L’imam Seydi pada 21 Jun 2017. Tetapi FMLLP sengaja melambat-lambatkan respon mereka sehingga tarikh jendela perpindahan pemain ditutup. Mengapa ini berlaku?

Sekali lagi kami tekankan, kes ini tiada kena-mengena dengan kelambatan respons FMLLP.

L’imam Seydi tak dapat didaftarkan kerana:

  • larangan pendaftaran pemain baharu Kelantan tetap berkuatkuasa
  • mekanisme perpindahan Ghaddar-Bako berlainan dengan Celin-Seydi

Yuran perpindahan Ghaddar (gambar bawah) yang mahal membolehkan FMLLP menggunakan budi bicara mereka untuk memberi pengecualian di sebalik larangan pendaftaran pemain baharu yang mereka kenakan kepada Kelantan.

Yuran perpindahan Ghaddar ini mampu membantu Kelantan menyelesaikan tunggakan lama DAN PALING PENTING, memberi peluang kepada Kelantan untuk kekal dalam Liga Super pada musim 2018 nanti.

Kenapa T-Team dan Perlis boleh mendaftar pemain import baharu seperti biasa pada jendela perpindahan Mei-Jun 2017 baru-baru ini?

Sumber: T-Team FC

Jawapannya ringkas sahaja:

1. T-Team dan Perlis berjaya mengemukakan dokumen yang tertangguh beserta rayuan mereka kepada FMLLP walaupun mereka sebenarnya menghantar lewat daripada tarikh akhir iaitu 15 Mei 2017.

Kelantan pula masih gagal mengemukakan dokumen yang tertangguh ke SPMB sehingga kini.

Jika T-Team dan Perlis sekali lagi gagal membayar gaji, KWSP, Perkeso dan LHDN hasil aktiviti perpindahan pemain mereka pada jendela perpindahan Mei-Jun 2017 baru-baru ini, mereka akan dihukum pada musim 2018 akan datang. Bukannya sekarang.

Kenapa FMLLP mengenakan hukuman pemotongan mata dan larangan pendaftaran pemain baharu kepada kesalahan gagal melengkapkan dokumen pendaftaran?

Perkara ini sudah termaktub dalam Perkara 43, Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia.

Dalam Manual Liga Malaysia ini, pasukan yang gagal melengkapkan dokumen Surat Selesai Bayaran/Tunggakan Gaji, KWSP, Perkeso dan LHDN akan:

  1. dipotong mata
  2. jika masih berdegil, dilarang mendaftar pemain baharu
  3. jika masih berdegil, disingkirkan ke divisyen yang bawah daripada divisyen di mana pasukan tersebut sepatutnya bertanding untuk musim 2018
  4. jika masih lagi berdegil, dibatalkan penyertaan untuk musim 2018

Sumber:

1. Football Malaysia LLP (2017). FAKTA SEBENAR ISU PEMOTONGAN MATA DAN SEKATAN PERPINDAHAN. Facebook. https://www.facebook.com/footballmalaysiallp/posts/1500549710017529

2. Football Malaysia LLP (2017). KAFA FAHAM DENGAN JELAS DAN AKAN SELESAIKAN ISU DENGAN SEGERA. Facebook. https://www.facebook.com/footballmalaysiallp/photos/a.919638381442001.1073741831.883997268339446/1505684606170706/?type=3

3. Football Malaysia LLP (2017). MAKLUM BALAS TERHADAP RAYUAN PASUKAN KELANTAN. Facebook. https://www.facebook.com/footballmalaysiallp/photos/a.919638381442001.1073741831.883997268339446/1522088944530272/?type=3

4. FIFA (2016). Regulations on the Status and Transfer of Players. https://www.fifa.com/mm/document/affederation/administration/regulations_on_the_status_and_transfer_of_players_en_33410.pdf

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN