Peminat bola sepak tempatan akhirnya berpeluang untuk kembali menyaksikan kelibat Mohd Faiz Subri dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) selepas pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016 disahkan mengikat kontrak bersama Penang untuk saingan musim hadapan.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh wartawan The Star, T. Avineshwaran menerusi ciapannya di Twitter.
Faiz Subri is back! The Puskas award winner has penned a deal with Penang for the 2022 season. #MFLTransfer2021 pic.twitter.com/Lp0jpOYphv
— T. Avineshwaran (@avineshW90) October 24, 2021
Ini bermakna penyerang berusia 34 tahun itu akan kembali menyarung jersi skuad Harimau Kumbang yang pernah menjadi tempat beliau menabur bakti selama empat musim pada 2015 hingga 2019.
Gol sepakan percumanya ketika menentang Pahang pada 2016 mencuri tumpuan duani kerana dianggap melawan hukum fizik dan sekaligus dinobatkan selaku pemenang Anugerah Puskas yang berlangsung di Zurich, Switzerland yang turut menjadikannya sebagai pemain Asia pertama yang memenangi anugerah itu.
Faiz Subri sebelum ini turut dikaitkan dengan pasukan Kelantan selepas pemilik pasukan dari pantai timur itu, Norizam Tukiman menyatakan hasratnya untuk menyunting pemain yang pernah menyarung jersi The Red Warriors itu pada musim 2013.
Bersama Kelantan, beliau berjaya membantu pasukan tersebut yang ketika itu dibimbing oleh Bojan Hodak menjulang PIala FA dan muncul naih juara Piala Malaysia.
Beliau juga pernah beraksi untuk Perlis, T-Team serta Terengganu.