Serie A: Lazio Pintas Inter Milan

Inter Milan menelan kekalahan kedua mereka musim ini. Dan kekalahan kali ini di tangan sebuah lagi pasukan yang masih bersaing untuk kejuaraan iaitu Lazio.

Inter  bertandang ke Lazio untuk perlawanan ke-24 mereka musim ini. Ini adalah pertembungan di antara pasukan di tangga kedua dan pasukan di tangga ketiga.

Kalah dua perlawanan mungkin nampak sedikit, tetapi, terdahulu Juventus sudah menang dalam aksi lebih awal.

Inter Milan berada di hadapan sebelum rehat menerusi bekas kapten Manchester United, Ashley Young.

Young melakukan satu half volley yang menarik untuk menewaskan Thomas Strakosha.

Namun pada separuh masa kedua, Inter bocor dua kali. Pertamanya adalah menerusi penalti oleh Ciro Immobile.

Pengadil memberikan penalti itu selepas Stefan De Vrij mengasari Immobile. Tiada masalah untuk pemain tersebut menyempurnakan gol penalti tersebut.

Inter Milan kemudian meminta sepakan penalti untuk mereka selepas Ashley Young dijatuhkan. Namun pengadil tidak memberikannya.

Sebaliknya pada minit ke-69, Sergej Milinkovic Savic merembat leret bola dari dalam kotak penalti.

Inter Milan tidak mampu untuk membalas gol tersebut. Dan akhirnya Lazio menang 2-1 ke atas Inter. Ini sekaligus terus menyalakan api cabaran mereka dalam perebutan kejuaraan liga.

Skuad bimbingan Simone Inzaghi itu kini hanya dibezakan satu mata sahaja dari pendahulu liga Juventus. Mereka memintas Inter Milan – menolak skuad bimbingan Antonio Conte itu ke tangga ketiga.

Lazio ternyata dalam prestasi terbaik mereka pada ketika ini. Masih tak kalah dalam 19 perlawanan terakhir, dengan 14 kemenangan daripada 16 perlawanan terakhir.

Dalam perlawanan ini Antonio Conte telah menggunakan kesemua lima pemain yang beliau tandatangani dari EPL di atas padang.

Leave a Reply