Kelebihan berada di hadapan sebanyak tiga kali masih gagal untuk membantu AC Milan mengekalkan rekod kemenangan bersih dalam kempen Serie A apabila diikat 3-3 AS Roma pada aksi yang berlangsung di San Siro, awal pagi tadi.
Semangat juang dipamerkan skuad kendalian Paulo Fonseca untuk bangkit itu sekali gus telah membayangi kehebatan dua jaringan yang dihasilkan penyerang veteran AC Milan, Zlatan Ibrahimovic.
Penyerang berusia 39 tahun itu telah menjaringkan enam gol dalam saingan liga selepas hanya beraksi pada tiga perlawanan yang mana telah menjadikannya sebagai penjaring terbanyak pada ketika ini, meninggalkan tiga pesaing utamanya, Andrea Belotti, Francesco Caputo dan Romelu Lukaku dengan kelebihan satu gol.
Ibrahimovic hanya memerlukan dua minit sahaja untuk membuka tirai jaringan pada perlawanan ini apabila beliau bijak melakukan larian lolos yang melepasi kawalan pertahanan lawan setelah menerima umpanan menarik daripada Rafael Leao dari luar kawasan penalti.
Beliau yang sememangnya mempunyai tahap ketenangan tinggi di depan gawang lawan tidak berdepan masalah untuk menguis masuk bola bagi menewaskan penjaga gol, Antonio Mirante.
Kelebihan itu bagaimanapun berjaya dipadamkan berselang 12 minit kemudian setelah hantaran lintang Lorenzo Pellegrini ditanduk masuk Edin Dzeko susulan kegagalan penjaga gol, Ciprian Tatarusanu untuk mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.
Rafael Leao terus memainkan peranan penting dalam membantu AC Milan mendapatkan jaringan apabila hantarannya ke dalam kawasan penalti pasukan pelawat disudahkan dengan baik oleh Alexis Saelemaekers untuk sekali lagi meletakkan Rossoneri di hadapan pada minit ke-47.
AS Roma yang tidak mahu terus ketinggalan memberikan tekanan ke kubu AC Milan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-71 setelah mereka dihadiahkan sepakan penalti susulan kekasaran Ismael Bennacer terhadap Pedro.
Jordan Veretout yang mengambil sepakan tidak berdepan masalah untuk menjadikan kedudukan 2-2 walaupun Tatarusanu sudah dapat membaca arah sepakan tersebut.
Lapan minit kemudian, perlawanan bertambah rancak selepas AC Milan pula diberikan sepakan penalti dan Ibrahimovic yang ditugaskan mengambil sepakan menjalankan tugas dengan baik untuk jaringan ketiga pada minit ke-79.
Kegagalan Ibrahimovic untuk mengeluarkan bola ketika situasi sepakan sudut yang diambil Veretout pada minit ke-84 telah memberikan ruang kepada pemain pertahanan, Marash Kumbulla untuk sekali lagi memadamkan kelebihan AC Milan.
Keputusan 3-3 itu kekal hingga tamat permainan untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata pada aksi saling kejar mengejar jaringan tersebut.
Dengan satu mata yang diraih, AC Milan terus mengemudi carta liga dengan 13 mata hasil empat kemenangan dan satu keputusan seri manakal AS Roma pula di tangga kesembilan dengan dua kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan untuk mengumpul lima mata.
Kredit featured image: Marco Luzzani/Getty Images