Kapten Real Madrid, Sergio Ramos berkata beliau mahu menamatkan karier di Real Madrid walaupun menerima tawaran lumayan dari China.
Rabu lalu Presiden, Florentino Perez berkata pemain pertahanan Sepanyol itu memohon untuk dilepaskan secara percuma oleh Real Madrid, selepas mendapat tawaran daripada kelab Liga Super China (CSL).
“Ianya benar bahawa saya telah menerima tawaran dai China, saya tidak akan menipu mengenai itu,” ujar pemain berusia 33 tahun itu.
Ramos tampil penjelasan
Ramos beraksi bersama skuad Los Blancos sejak 2005, dan mempunyai kontrak yang akan tamat pada musim panas 2021.
“Impian saya ialah untuk bersara di sini,” tambah beliau lagi.
Perez sebelum ini mengesahkan Ramos dan ejen beliau telah berjumpa dengan beliau kerana telah menerima tawaran ‘sangat lumayan’ dari sebuah kelab yang tidak dinamakan, tetapi tidak boleh memenuhi klausa perpindahan pemain tersebut.
“Saya memberitahu Ramos, mustahil Real Madrid mahu membenarkan kapten pasukan untuk pergi secara percuma,” ujar Perez.
Ramos pula berkata: “Saya tidak pernah sekali pun berfikir mahu ke China.
“Semalam saya berjumpa presiden untuk menjelaskan semua perkara.
“Saya memberitahu presiden bahawa saya tidak akan menyertai mana-mana kelab yang berpotensi bersaing dengan Real Madrid.
“Jika satu hari nanti saya pergi, ia kerana saya berpendapat tubuh badan ini tidak lagi membenarkan saya untuk beraksi di tahap tertinggi.
“Saya adalah kapten Real Madrid, dan saya diterima dengan baik dan mendapat sokongan rakan sepasukan yang lain.
“Saya bukan mahu apa-apa [kontrak] diperbaharui. Saya gembira dengan apa yang saya terima. Ramai akan berkata ia adalah strategi untuk mendapatkan lebih banyak [wang]. Tetapi ia adalah yang sebaliknya.”
Musim sukar
Ramos telah membantu Real Madrid memenangi 20 kejuaraan sejak 14 tahun yang lalu, termasuk empat kejuaraan UEFA Champions League (UCL) dan empat kejuaraan La Liga.
Musim 2018/19 adalah musim yang sukar untuk Ramos dan Real Madrid, dan mereka gagal memenangi sebarang kejuaraan.
Menamatkan saingan La Liga di kedudukan ketiga -19 mata di belakang juara, Barcelona – Real disingkirkan dari pertandingan UEFA Champions League oleh Ajax di pusingan kedua. Di pertandingan Copa del Rey, Real turut disingkirkan oleh Barca di separuh akhir.
Pada Mac lalu, Zinedine Zidane kembali mengambil alih jawatan pengurus, selepas melepaskan jawatan tersebut 10 bulan sebelumnya.