Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Inilah yang berlaku kepada Sergi Guardiola. Satu kesilapan kata-kata pada masa lampau memberi kesan yang cukup lama dalam hidupnya.
Masakan tidak.
Dari berpeluang bermain bersama bintang ternama seperti Lionel Messi dan Neymar di Barcelona, beliau kini terpaksa berkelana sehingga ke Australia (bersama Adelaide United) untuk mencari makan sebagai pemain profesional.
Menghina Barcelona
Kami tahu apa yang anda fikir. Sergi Guardiola tiada kaitan persaudaraan dengan pengurus Manchester City dan mantan bos Barcelona, Pep Guardiola.
Semuanya bermula apabila Sergi Guardiola mendapat tawaran kontrak dari Barcelona; sesuatu yang tak pernah diimpikannya sebelum ini.
Pada musim sejuk 2015, Sergi telah dipancing oleh Barcelona untuk bermain dalam pasukan simpanan “B” mereka di divisyen ke-3 Sepanyol.
Perpindahan ini merupakan batu loncatan yang cukup besar kerana sebelum ini Sergi hanya bermain di kelab-kelab amatur dan semi-pro Sepanyol seperti La Lucia, Novelda dan Eldense.
Namun jodoh Sergi dengan Barcelona tidak panjang.
Baru beberapa jam menjadi pemain Barcelona ‘B’, kontrak Sergi dibatalkan serta merta atas perbuatan Sergi pada tahun 2013.
Kontrak Sergi dibatalkan kerana beliau pernah menulis tweet yang menghina Catalunya selain secara terbuka menyatakan sokongan terhadap musuh tradisi Barcelona iaitu Real Madrid.
Tweet yang ditulis Sergi pada 2013 itu berbunyi “Hala Madrid” serta memanggil orang Catalunya sebagai “pelacur”.
“Bukan saya tulis”
Bagaimanapun Sergi menafikan perbuatan tersebut.
“Saya ingin minta maaf kepada Barcelona dan orang-orang Catalunya diatas apa yang terjadi. Tindakan Barcelona menamatkan kontrak saya adalah tindakan yang adil.”
“Tetapi saya tak tweet itu semua. Kawan saya yang mengambil telefon saya dan menulis tweet tersebut. Saya tak tahu apa-apa.”
Oleh disebabkan yang dilakukanya itu, Barcelona menamatkan kontraknya secara serta-merta. Sergio tidak berjaya untuk bermain satu perlawanan pun untuk Barcelona.
Berkelana di Australia
Selepas ditamatkan kontrak oleh Barcelona, Sergi disambar oleh oleh Granada pada 2016.
Namun perjalanan untuk ke skuad utama Granada tidak mudah, Sergi terpaksa bermain untuk Granada B terlebih dahulu.
Selepas melakukan 19 penampilan menjaringkan 8 gol, Sergi berjaya memperoleh tempat di skuad utama Granada.
Namun begitu, impian Sergi untuk beraksi di La Liga pada musim ini berkecai apabila beliau dipinjamkan ke kelab Australia, Adelaide United.
Sergi dipinjamkan kepada Adelaide United untuk pinjaman selama semusim.
“Perasaan saya apabila ke Adelaide United adalah sangat baik. Semuanya sangat baik dan saya rasakan semua orang menerima kehadiran saya.”
“Saya juga mula sedikit demi sedikit mempelajari sejarah kelab ini. Dan liputan mengenai Adelaide United juga cukup luas di Sepanyol.”
Menyedari bahawa karier beliau mula menemui titik penurunan selepas kes antara beliau dengan Barcelona. Sergi berazam mahu bangkit dalam perjalanan kariernya.
“Saya nak orang tahu yang saya hadir ke Australia untuk menjaringkan banyak gol serta menang banyak perlawanan bersama kelab.”
“Ini adalah peluang terbaik untuk saya terus maju dalam karier saya dengan mendapatkan sebanyak masa mungkin masa bermain untuk Adelaide United.”
Baca juga: Antonio Cassano Dihalau Keluar Sampdoria Selepas Isterinya Kutuk Presiden Kelab Di Twitter