Sepuluh Tahun Kemudian, Janji TMJ Telah Dikotakan

Sepuluh. Dengan kemenangan 4-0 ke atas PDRM FC malam tadi, JDT secara rasminya telah mencipta satu (lagi) sejarah – juara Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut. Dalam tempoh sedekad dalam Liga M sejak 2014, juara liga hanya mempunyai satu nama: Johor Darul Ta’zim.

Tiada pasukan lain di Malaysia yang layak menjadi definisi konsisten selain Harimau Selatan. Generasi peminat bola sepak tempatan pada tahun-tahun mendatang akan melihat pencapaian ini sebagai satu-satunya rekod paling gah dalam bola sepak negara. Ia penanda aras baharu; satu siling pencapaian yang sangat tinggi dan hampir mustahil untuk diulangi pasukan lain.

Nombor sepuluh sangat signifikan pada malam ini. Malam kejuaraan sedekad ini tiba tepat selepas 10 tahun DYAM TMJ mengasaskan JDT. Nyata ikrar baginda pada malam 5 Oktober 2013 bukan satu cakap kosong. “Sekiranya saya gagal membimbing Johor untuk menjulang sebarang piala pada musim 2014, saya akan meletakkan jawatan saya selaku Presiden PBNJ. Itu janji saya.” Kekalahan 1-6 kepada Kelantan FC di Kota Bharu tidak memadam api cita-cita baginda. Sebaliknya ia semakin marak.

“Kita kalah dalam perlawanan ini, tetapi semangat untuk membina empayar bola sepak yang hebat tidak pernah luntur. Kejayaan tidak datang dengan sekelip mata, ianya memerlukan masa. Dan masa tersebut akan bermula pada 22hb November ini (persiapan musim 2014),” janji TMJ kepada penyokong JDT. Sejak itu, Harimau Selatan berevolusi daripada pencabar kejuaraan Liga Super kepada juara Liga Super; kemudian kepada juara bertahan Liga Super: sehinggalah kepada pemecah rekod demi rekod sehingga malam ini.

Dalam proses evolusi ini, JDT bukan sahaja mengubah buku rekod. Tiada siapa boleh menafikan JDT juga mengubah landskap mentaliti bola sepak tempatan. Pasukan Malaysia pertama yang menyediakan fasiliti kelab bertaraf dunia kepada pemain. Pasukan Malaysia pertama yang menyediakan padang bola bertaraf dunia. Pasukan Malaysia pertama yang memperkenalkan kelebihan marginal atau ‘marginal gains’ menerusi kemajuan sains sukan. Pasukan Malaysia pertama yang meletakkan keutamaan tertinggi kepada pentas Asia. Sebelum JDT menjuarai Piala AFC pada 2015, pasukan Malaysia cenderung meletakkan keutamaan tertinggi kepada keputusan liga domestik berbanding Piala AFC.

Cita-cita TMJ menaikkan nama JDT di peringkat domestik dan Asia tidak hadir tanpa komen sinis pengkritiknya. Ironinya kini pengkritik sama menuntut standard JDT diterapkan dalam pasukan sokongan mereka. Mungkin sudah sampainya untuk mereka kurangkan bercakap, lebihkan mendengar?

Sepuluh tahun lepas, kita mungkin boleh dimaafkan jika kita buat endah tak endah dengan cakap-cakap, komen, kritikan, cadangan dan amanat TMJ. Tetapi sekarang tidak boleh lagi. Setiap butir kata TMJ mengenai bola sepak Malaysia perlu diambil serius. Lagipun, ini datangnya daripada pemilik kelab bola sepak yang sentiasa menemui ruang untuk menerobos siling pasukannya. Sepanjang sepuluh tahun memimpin JDT, trajektori Harimau Selatan sentiasa meningkat – di dalam mahupun di luar padang.

Pasukan lain ada pasang surutnya. Selangor sehingga kini bergelut mengulangi kegemilangan sejarahnya. Begitu juga dengan Kedah. Lain ceritanya bagi JDT. Sejak 2014, TMJ berjaya memimpin Harimau Selatan ke siling baharu hasil visi, mentaliti dan perancangannya. Selepas menjuarai Liga Super buat pertama kali, siling seterusnya yang ditetapkan baginda – bergelar juara piala domestik lain. Selepas piala domestik, siling seterusnya – menjuarai Piala AFC. Selepas Piala AFC, siling seterusnya – mempertahankan kejuaraan domestik dan bersaing secara kompetitif di AFC Champions League. Selepas itu, mengejar kejuaraan double. Kemudian, kejuaraan triple. Kemudian, kejuaraan quadruple. Kemudian, kejuaraan liga tanpa kalah. Dan kini, siling terbaru yang berjaya dipecahkan mereka – juara liga buat kali ke-10 berturut-turut.

Cubaan pengkritik untuk mengecil-ngecilkan magnitud pencapaian JDT dengan komen ‘JDT menang kerana ada duit’ segera lenyap apabila satu demi satu pemain tempatan muda dari akademi berjaya digilap. Arif Aiman, Feroz Baharuddin, Ramadan Saifullah, Aysar Hadi dan Daryl Sham hanya satu permulaan dari akademi JDT. Berdekad-dekad sebelum kewujudan JDT, sudah ada banyak kelab yang ‘ada duit’. Tapi di mana perancangan jangka masa depan mereka? Di mana fasiliti kelab mereka? Bagaimana kebajikan pemain mereka sekarang? Tanpa fasiliti bertaraf dunia, kebajikan yang terjaga serta perancangan TMJ, gaji tinggi pun tidak akan mampu meyakinkan pemain-pemain import dan kebangsaan berkualiti untuk menyarung jersi biru merah JDT.

Sepuluh tahun dan sepuluh kejuaraan Liga Super (serta 15 trofi lain) kemudian, soalan seterusnya yang pasti ditanya – siapa mampu cabar pencapaian JDT? Sejarah menunjukkan pasukan Malaysia lain hanya mampu mengekalkan konsistensi sama selama dua musim sahaja. Apatah lagi sepuluh tahun. Hakikat ini yang perlu ditelan oleh pembenci JDT.

Tahun demi tahun, JDT telah berjaya menidakkan pertikaian yang cuba ditimbulkan oleh mereka dengan kejayaan demi kejayaan. Di dalam dan di luar padang. Sebarang komen dari pembenci JDT, pada peringkat ini, hanya akan nampak sebagai cubaan untuk menidakkan kenyataan. Untuk menafikan realiti. Untuk menyelindung kekecewaan kepada pasukan sokongan sendiri. JDT akan terus berada di kelas tersendiri. Hidup akan terus berjalan. Yang memperbaiki diri sendiri akan terus maju. Yang sibuk membenci akan terus malu.

Sepuluh tahun dan sepuluh kejuaraan Liga Super (serta 15 trofi lain) kemudian, janji TMJ untuk membina empayar bola sepak pada malam 5 Oktober 2013 telah dikotakan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN